KEPALA BATAS: Dua beranak di Bandar Putra Bertam, rancak menyiapkan tudung saji bercorak Jalur Gemilang yang ditempah pelanggan mereka sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 tahun.
Cik Salmila Md Desa, 47 tahun, dan anak perempuannya Nor Syafiqah Md Zaki,16 tahun, setakat ini menerima tempahan lebih 10 unit tudung saji daripada pelanggan yang menginginkan corak Jalur Gemilang.
Cik Salmila yang juga ibu kepada empat anak berkata, menjadi rutinnya pada setiap Ogos untuk menghasilkan tudung saji bercorak Jalur Gemilang namun ia hanya dihasilkan secara ‘suka-suka’ dan dijual dalam produk yang sudah siap, bukan melalui tempahan.
“Apabila saya membuat tudung saji sudah tentu corak akan timbul di bahagian depan tetapi ada pelanggan yang minta corak Jalur Gemilang ini berada di dalam tudung saji (terbalik) kerana mereka nak buat perhiasan dengan menggantung di dinding.
“Walaupun sedikit mencabar kerana memerlukan masa lebih dari satu hari untuk disiapkan tetapi saya cuba kerana tidak mahu menghampakan perasaan mereka dan syukur ia berjaya.
“Tambahan pula, saya dibantu anak saya dan kami berdua memang sedia menyiapkan tempahan pelanggan sempena Hari Merdeka. Ini termasuk 30 lagi yang tempah dengan pelbagai corak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Cik Salmila berkata, penghasilan corak Jalur Gemilang dilakukan dengan penuh teliti memandangkan ia melambangkan identiti negara yang begitu disanjung tinggi.
“Ketika menyiapkan tudung saji corak ini juga ia membangkitkan semangat patriotisme dalam diri saya dan anak sehingga kami begitu teruja serta bersungguh-sungguh menghabiskan tempahan.
“Terdapat antara empat hingga lima jenis corak Jalur Gemilang yang dihasilkan saya dan anak yang kebanyakan ilmu itu saya peroleh daripada rakan-rakan terdekat yang turut sama dalam bidang ini termasuk mempelajari daripada seorang yang saya panggil guru di Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Sementara itu, Nor Syafiqah berkata, sebaik pulang dari sekolah dia akan menghabiskan semua latihan diberikan gurunya terlebih dahulu sebelum membantu ibunya dalam menghasilkan tudung saji itu.
“Selain Jalur Gemilang, saya juga boleh buat corak lain seperti kartun dan bunga hasil tunjuk ajar ibu sendiri.
“Ketika ini, saya jadikan sebagai hobi untuk mengisi masa lapang,” katanya yang belajar menghasilkan kraf tudung saji sejak berusia 12 tahun.
Tudung saji reben disediakan tiga saiz, iaitu 12, 24 dan 26 inci dengan harga antara RM35 ($10.50) hingga RM100 setiap satu. Pelanggan boleh pilih corak anyaman.
“Bagi saiz tudung saji kecil proses anyaman mengambil masa satu hari, saiz sederhana dua ke tiga hari manakala besar memerlukan masa antara tiga ke lima hari disiapkan mengikut corak.
“Kerja kreatif ini memerlukan penelitian. Untuk memuaskan hati pelanggan saya tidak boleh tergopoh-gapah menghasilkan anyaman cantik dan berkualiti,” katanya.
Terdahulu, Cik Salmila terlibat dalam penghasilan tudung saji anyaman sejak 2018 kerana mahu membantu suaminya yang terpaksa berhenti daripada bekerja di sebuah kilang.
Menurutnya ketika suami berhenti kerja, wang yang ada dalam poket hanya RM0.30 sen ($0.08) sehingga kehidupan menjadi buntu.
Situasi itu membuatkan Cik Salmila, tidak duduk diam, sebaliknya mahu mengubah nasib membantu suaminya, Md Zaki Md Rasdi yang berhenti kerja di sebuah kilang atas faktor tertentu.
Apatah lagi, mereka perlu menyara empat anak yang berusia 13 hingga 20 tahun yang masih belajar.
Selepas berfikir lama, Cik Salmila, kemudian mendapat idea membuat anyaman reben pada tudung saji dipelajari daripada YouTube dan Facebook.
Meskipun tiada kelayakan dalam bidang anyaman, dengan pengetahuan asas kraftangan didedahkan adik iparnya memudahkannya belajar sehingga mampu menyiapkan puluhan tempahan pelbagai corak dan saiz. – BHM.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg