KUALA LUMPUR: Meta Platforms memohon maaf pada 6 Ogos atas tindakan memadam kandungan daripada akaun Facebook dan Instagram Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan dengan pembunuhan pemimpin Hamas, Encik Ismail Haniyeh, pada 31 Julai lalu.
Malaysia sebelum ini telah meminta penjelasan Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, selepas catatan yang menyatakan takziah atas kematian Encik Haniyeh telah dipadamkan.
“Kami memohon maaf atas kesilapan operasi yang mana kandungan daripada Facebook dan Instagram Perdana Menteri (Malaysia) telah dipadamkan, dan kandungan itu telah dipulihkan dengan label yang betul,” kata jurucakap Meta kepada Reuters.
Menteri Komunikasi Malaysia, Encik Fahmi Fadzil, dan anggota Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah bertemu wakil Meta pada 5 Ogos untuk mendapatkan penjelasan.
Sebelum ini, PMO juga telah menuntut Meta Platforms agar memohon maaf secara terbuka atas tindakan mereka itu.
Perkara itu dinyatakan kepada wakil Meta yang pada 5 Ogos dipanggil oleh Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO di Putrajaya, lapor Berita Harian Malaysia.
“PMO menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Perdana Menteri yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Asy Syahid Ismail yang dibunuh baru-baru ini.
“PMO melihat tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan, selain penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin yang menuntut keadilan dan hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan pada 5 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg