KUALA LUMPUR: Dua budak perempuan berusia 12 tahun, ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika sedang berlumba haram di Jalan Ampang dan Jalan Sultan Ismail di sini pada 20 Mac.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata dua kanak-kanak itu di antara 38 penunggang motosikal ditahan dalam operasi terbabit, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata ibu bapa kedua-dua kanak-kanak itu sudah dipanggil dan JPJ mempertimbangkan tindakan ke atas penjaga kerana membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal.
“Kedua-dua remaja bawah umur itu didapati menyertai perlumbaan haram dengan menunggang motosikal yang telah diubah suai secara haram, termasuk pada bahagian ekzos dan sistem brek.
“Ini amat membimbangkan kerana bukan sahaja mereka masih di bawah umur, tetapi motosikal yang ditunggang juga telah diubah suai secara tidak sah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ihya Ramadan JPJ Kuala Lumpur, di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan, dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.
Mengulas lanjut Datuk Aedy berkata 196 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 19 motosikal disita kerana didapati diubah suai struktur, enjin, dan ekzos.
Katanya, antara kesalahan paling banyak direkodkan adalah menunggang motosikal tanpa lesen sah dan pengubahsuaian jentera secara haram.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg