Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir landa JB, beberapa daerah lain di Johor; lebih 1,600 penduduk terjejas

Mar 20, 2025 | 11:02 AM
Anggota bomba dan orang ramai melakukan kerja menyelamat mangsa banjir di Johor.
Anggota bomba dan orang ramai melakukan kerja menyelamat mangsa banjir di Johor. - Foto ANGKATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA (APM)

JOHOR BAHRU: Banjir sudah mula melanda Johor menyusuli hujan berterusan sejak 19 Mac dan setakat 2 petang 20 Mac.

Tiga daerah – Johor Bahru, Kulai dan Pontian – mencatatkan lebih 1,600 mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Sebanyak 22 PPS sudah dibuka, dengan enam di Johor Bahru serta dua setiap satu di Kulai dan Pontian, berbanding hanya tiga PPS dibuka pada 9 malam 19 Mac.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata setakat ini 1,691 mangsa daripada 471 keluarga ditempatkan di semua PPS yang dibuka.

“Johor Bahru setakat ini yang teruk terjejas, dengan 674 mangsa dipindahkan ke PPS, diikuti Kota Tinggi 431 orang, Pontian 297 orang dan Kulai 289 orang,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah di Johor.

Amaran hujan lebat berterusan itu membabitkan Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi, dan diramalkan berlaku hingga 21 Mac.

Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan bagi daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat. Ia juga diramal berterusan hingga 21 Mac.

Sungai Sayong, yang juga sub lembangan Sungai Johor, di Kulai merekodkan bacaan melepasi paras bahaya 20.85 meter, manakala dua sub lembangan Sungai Skudai di Johor Bahru turut merekodkan bacaan melepasi paras bahaya masing-masing 1.01 meter dan 4.24 meter.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata pihaknya telah mengerahkan sembilan anggota bomba dengan sebuah kenderaan penyelamat ke Tebrau, lapor The Star.

Jurucakap itu menambah bahawa 10 anggota bomba telah menyelamatkan seorang warga emas berkerusi roda berikutan banjir di Jalan Sukun di Kampung Pasir di daeah itu.

“Kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.46 petang mengenai banjir yang berlaku di kawasan itu. Kami kemudian menyelamatkan mangsa dan memindahkannya ke balai raya berhampiran,” kata jurucakap itu.

Banjir juga menjejaskan pelajar, dengan beberapa sekolah ditenggelami air dan 11 terputus hubungan sama sekali, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg