Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua gadis maut dirempuh kereta pengedar dadah di Pahang

Jun 12, 2025 | 10:19 AM
Keadaan kereta Perodua Bezza yang remuk teruk selepas merempuh motosikal dinaiki dua remaja perempuan.
Keadaan kereta Perodua Bezza yang remuk teruk selepas merempuh motosikal dinaiki dua remaja perempuan. - Foto PDRM

TEMERLOH (Pahang): Dua gadis berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki disyaki pengedar dadah di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, di sini, pada 11 Jun malam.

Mangsa dikenali sebagai Nur Alya Irdina Mohd Azam ,18 tahun, dari Taman Temerloh Jaya Indah dan rakannya, Siti Nur Syafiqah Mohd Arif, 18 tahun, dari Felda Bukit Damar, Lanchang.

Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Kejadian berlaku kira-kira 11 malam ketika motosikal yang ditunggang Nur Alya bersama pemboncengnya, Siti Nur Syafiqah, berhenti di lampu isyarat merah sebelum dirempuh dari belakang oleh kereta Perodua Bezza.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Penolong Pesuruhjaya Mazlan Hassan, berkata kereta itu dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun dari Kepong, Kuala Lumpur, yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek adalah negatif, namun pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemukan dua peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 50.85 gram dan heroin 0.85 gram di bahagian tempat duduk belakang,” katanya, lapor Harian Metro.

Suspek kemudian ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat, manakala kenderaan terbabit dirujuk ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.

Encik Mazlan berkata pihaknya sedang mengesan saksi awam yang melihat kejadian bagi membantu siasatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg