Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemalangan ngeri ragut nyawa 15 penuntut universiti di Perak

Jun 9, 2025 | 6:04 PM
M’sia, kemalangan bas, pelajar universiti maut
Keadaan bas yang terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik di Perak, pada awal pagi 9 Jun. - Foto BERNAMA

Satu nahas ngeri jalan raya di Perak pada awal pagi 9 Jun mengorbankan sekurang-kurangnya 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan satu pasukan khas teknikal ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat kemalangan tragik itu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya akan menyiasat daripada pelbagai sudut termasuk dakwaan bas itu dipandu laju dan berbahaya.

Polis Perak mengesahkan kejadian malang sekitar 1 pagi itu dipercayai berlaku selepas bas sewa khas yang membawa 42 penuntut UPSI dari Jertih, Terengganu, dalam perjalanan pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak, selepas cuti Aidiladha, hilang kawalan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata hasil laporan awal mendapati bas terbabit terlanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di hadapannya yang dinaiki empat sekeluarga iaitu sepasang suami isteri dan dua anak berusia enam dan tiga tahun.

Bas sewa khas yang membawa penuntut dari negeri pantai timur berusia 21 hingga 23 tahun itu turut menyebabkan 27 lagi penuntut cedera termasuk tujuh mengalami cedera parah. Semua 27 mangsa serta empat mangsa dalam MPV dirawat di beberapa hospital berasingan di Perak.

Insiden menyayat hati itu lebih mengesankan apabila pemeriksaan di dalam bas terbabit menemui pelbagai barangan peribadi mangsa berserakan, termasuk makanan seperti ketupat, lemang dan rendang yang dibekalkan anggota keluarga.

Kejadian malang itu adalah antara beberapa kes nahas jalan raya dengan angka korban tertinggi di Malaysia pada 2025. Pada 13 Mei lalu, sembilan anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terkorban dalam satu nahas membabitkan trak yang dinaiki pasukan itu dengan treler sarat muatan batu, di Perak.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada keluarga 15 penuntut UPSI yang maut dalam kemalangan itu dan mendoakan mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam nahas itu tabah dan kuat untuk melalui tempoh yang amat sukar ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Sultan Ibrahim turut mendoakan agar mangsa yang sedang mendapatkan rawatan di hospital diberikan kesembuhan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut berkongsi rasa dukacita dan mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyelaraskan bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa kemalangan terbabit.

“Musibah menyayat hati sebegini sering kali berulang, seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi. Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” kata Datuk Anwar di Facebook.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, memaklumkan KPT menyalurkan bantuan segera sebanyak RM2,000 ($607) kepada waris pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas terbabit, selain bantuan khas RM1,000 kepada setiap waris mangsa termasuk mereka yang cedera dalam kemalangan itu.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, pula berkata pihaknya menyediakan seorang kakitangan bagi setiap keluarga penuntut yang terbabit dalam kemalangan itu bagi memastikan waris dan mangsa mendapat bantuan sewajarnya, sehingga semua urusan selesai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg