Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua gajah jantan liar ditangkap di Kulai demi keselamatan penduduk

Aug 11, 2025 | 11:10 AM
gajah liar, Kulai, isu keselamatan
Salah seekor gajah yang ditangkap di Kampung Sawah, Sedenak, Kulai, pada 10 Ogos. - Foto FACEBOOK AH SOON

JOHOR BAHRU: Dua ekor gajah jantan liar berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor di Kampung Sawah, Sedenak, Kulai, pada 10 Ogos, susulan operasi yang dijalankan bagi mengelak ancaman kepada keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata operasi berkenaan bermula pada 9 Ogos di sekitar Kampung Air Manis, Kampung Sawah, Kampung Desa Idaman, Kampung Bukit Batu, Kampung Sri Sempurna, Kampung Bukit Nyamuk, Kampung Pinggir, Ladang Air Manis serta kawasan berhampiran.

Menurutnya, gajah pertama yang berjantina jantan dewasa dengan saiz tapak kaki hadapan 12 inci ditangkap pada 10.30 pagi, manakala gajah kedua yang juga jantan dewasa dengan saiz tapak kaki hadapan 13 inci ditangkap lima minit kemudian. Kedua-duanya siap diikat selepas tangkapan.

“Kedua-dua gajah ini sebahagian daripada kumpulan utama dikenali sebagai ID Tenggara yang sebelum ini tular kerana memasuki kawasan kampung sekitar Sedenak, Simpang Renggam dan sempadan Pontian.

“Kumpulan ini juga pernah menimbulkan masalah di kawasan landasan kereta api Mengkibol serta Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) beberapa minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Ogos.

Encik Ling menjelaskan tangkapan dilakukan bagi mengelakkan insiden berbahaya kepada pengguna jalan raya dan kereta api di kawasan terlibat.

Katanya lagi Perhilitan Johor akan terus memantau keadaan gajah tersebut sehingga proses pemindahan ke habitat lebih sesuai dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Terdahulu, Encik Ling dilaporkan berkata Kerajaan Johor telah memperuntukkan dana khas kepada Perhilitan untuk melaksanakan operasi pemindahan antara 10 hingga 12 ekor gajah liar dari kawasan panas ke habitat lebih sesuai dalam tempoh enam bulan mendatang.

Langkah itu diambil susulan peningkatan kes konflik antara manusia dengan gajah, termasuk kejadian tragis yang melibatkan kematian penduduk akibat dipijak, kemalangan jalan raya, pelanggaran kereta api dan insiden gajah diracun.

Operasi itu merupakan sebahagian daripada Ops Bersepadu Translokasi Gajah yang dilancarkan pada 14 Julai di Dewan Komuniti Dato Onn, Rumah Orang Sembrong, Kluang.

Sebelum ini, Perhilitan Johor hanya mempunyai satu pasukan khas gajah dengan kapasiti terhad. Namun, dengan sokongan kerajaan negeri, bantuan teknikal turut digerakkan daripada pasukan Perhilitan negeri lain bagi memperkukuh pelaksanaan operasi.

Encik Ling menegaskan bahawa operasi pemindahan itu memberi penekanan kepada dua keutamaan iaitu keselamatan penduduk tempatan dan pemeliharaan hidupan liar yang kian terancam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg