Enam ekor gajah liar berjaya ditangkap di Kampung Pinggir, Kluang, Johor, dalam operasi translokasi atau pemindahan gajah yang sedang giat dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor dan Semenanjung.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada Ops Bersepadu Translokasi Gajah yang dilancarkan pada 14 Julai di Dewan Komuniti Dato Onn, Rumah Orang Sembrong, Kluang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata kumpulan gajah yang ditangkap dikenal pasti sebagai antara yang telah mencetus konflik berulang di Kampung Sri Lukut, termasuk insiden kemusnahan tanaman dan ancaman terhadap penduduk.
“Gajah ini bersaiz besar, dengan ketinggian mencecah dua meter dan dikenal pasti sebagai kumpulan dari kawasan Taman Negara. Sehingga 2 petang Khamis (17 Julai), enam ekor telah berjaya ditangkap dan operasi tangkapan masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Julai.
Menurutnya, Kerajaan Johor telah memperuntukkan dana khas kepada Perhilitan untuk melaksanakan operasi pemindahan antara 10 hingga 12 ekor gajah liar dari kawasan Kluang ke habitat lebih sesuai dalam tempoh enam bulan mendatang.
Langkah itu diambil susulan peningkatan kes konflik antara manusia dengan gajah, termasuk kejadian tragis yang melibatkan kematian penduduk akibat dipijak, kemalangan jalan raya, pelanggaran kereta api dan insiden gajah diracun.
“Kluang merupakan daerah yang merekodkan jumlah aduan tertinggi berkaitan konflik manusia-gajah di negeri ini. Oleh itu, tindakan segera dan menyeluruh amat diperlukan,” kata Encik Ling.
Sebelum ini, Perhilitan Johor hanya mempunyai satu pasukan khas gajah dengan kapasiti terhad. Namun, dengan sokongan kerajaan negeri, bantuan teknikal turut digerakkan daripada pasukan Perhilitan negeri lain bagi memperkukuh pelaksanaan operasi.
Encik Ling menegaskan bahawa operasi pemindahan itu memberi penekanan kepada dua keutamaan – keselamatan penduduk tempatan dan pemeliharaan hidupan liar yang kian terancam.
“Konflik seperti ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan, bahkan memberi tekanan kepada populasi gajah liar yang semakin terhimpit habitatnya.
“Melalui pemindahan secara terancang, kita berharap dapat mengurangkan ketegangan ini dan memastikan gajah tersebut dapat hidup dalam persekitaran yang lebih sesuai tanpa mengganggu kawasan penempatan manusia,” jelasnya.
Kerajaan Johor turut menggesa penduduk agar terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan pergerakan gajah atau insiden yang membabitkan haiwan liar agar tindakan segera dapat diambil.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg