BATU PAHAT: Persiapan bagi majlis kahwin sudah lengkap dan hanya menunggu hari untuk melangsungkan perkahwinan, namun bakal pengantin perempuan menemui ajal pada pagi 1 Mei.
Cik Siti Nur Syamira Samsol, 28 tahun, yang sepatutnya menjadi raja sehari pada 3 Mei ini, meninggal dunia selepas kereta yang dinaiki bersama tunangnya, Encik Muhammad Aiman Abdul Rashid, 30 tahun, terbabit dalam kemalangan di Kilometer 93.3, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) kira-kira 8.30 pagi.
Arwah dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya, Cik Zainab Sakardi, 61 tahun, di Kampung Benaung, Mersing, bagi membuat persiapan, selain menghadiri majlis tahlil arwah bapanya, Encik Samsol Ismail, pada 2 Mei, sebelum majlis persandingan berlangsung.
Kakaknya, Cik Siti Nor Syamila, 37 tahun, berkata berita kematian itu hanya diketahui selepas dimaklumkan tunang adiknya sejurus terbabit dalam kemalangan.
“Kami sudah buat persiapan sepenuhnya dan hanya tunggu hari majlis berlangsung, namun bila dapat berita sedih ini, kami tak tahu nak cakap apa.
“Semua persiapan termasuk barang hantaran sudah siap lebih awal. Arwah pun nampak gembira bila hari majlis semakin dekat. Persiapan pun, dia minta nak uruskan semua. Kami hanya bantu dalam hal tertentu.
“Dua tahun lalu (2023), kami kehilangan abah, hari ini adik pula. Kesedihan kami belum terubat, ditambah pula pemergian adik dua hari sebelum majlis berlangsung,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), pada 1 Mei.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Penolong Pesuruhjaya, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mengesahkan kemalangan itu dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut Nor Cik Syamila, beliau menerima panggilan daripada ibunya sekitar 9.15 pagi, memaklumkan adiknya itu kemalangan, namun tidak menyangka membabitkan kematian.
“Kami beritahu adik beradik untuk bersiap ke sini (HSNI) untuk melawat arwah, namun kira-kira 15 minit kemudian, tunangnya hubungi saya beritahu adik sudah tiada.
“Sehari sebelum kejadian, arwah hubungi emak beritahu nak gerak balik ke Mersing dan mereka berjanji untuk keluar membeli barangan persiapan majlis kahwin,” katanya lagi.
Mengenai majlis perkahwinan arwah pada 3 Mei ini, Cik Nor Syamila berkata, beliau dan keluarga belum memutuskan sama ada perlu diteruskan atau ditukar kepada majlis tahlil.
Buat masa ini, katanya, mereka perlu selesaikan urusan arwah yang akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg