JOHOR BAHRU: Dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun ditemukan lemas di Tasik Menawan, Taman Pelangi Indah, Johor Bahru, selepas dilaporkan hilang ketika bermain berhampiran kawasan tasik berkenaan pada malam 21 Oktober.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.44 malam sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer daripada balai.
“Setibanya pasukan penyelamat di lokasi, terdapat dua pasang selipar dipercayai milik kanak-kanak berumur sembilan dan 10 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan tasik.
“Pasukan melaksanakan pencarian menggunakan teknik water surface searching sebelum Unit Penyelam di Air (PPDA) daripada BBP Skudai meneruskan operasi dengan teknik arch pattern,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Oktober.
Kedua-dua mangsa ditemukan di bawah permukaan air dan kira-kira lima meter daripada tebing, pada 2.28 pagi, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Operasi tamat sepenuhnya pada 3.05 pagi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Rayyan Iskandar Mohamed Hafiziee, sembilan tahun, dan Muhammad Khalish Rayqarl Hasimibudi, 10 tahun. Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan, Encik Shafie Md Don, berkata operasi berkenaan melibatkan 14 anggota.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan awal pagi 22 Oktober, dua individu maut selepas kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka terbakar selepas terbabas melanggar pokok di Kilometer 32 (KM32) Jalan Tanjung Balau–Sedili, Kota Tinggi, sekitar 4.30 pagi 22 Oktober.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Encik Muhammad Daniel Saberi, 21 tahun, seorang anggota tentera, dan Cik Aiza Nur Elysha Sabri, 17 tahun, pelajar SMK Semenchu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan rentung sepenuhnya di tempat kejadian.
Siasatan mendapati kereta mangsa terbabas sebelum terbakar hampir 93 peratus dan operasi pemadaman dijalankan oleh anggota BBP Penawar diketuai Pegawai Bomba Kanan, Encik Faizal Ahmad, menggunakan satu pancutan air dari jentera bomba.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang demi menjaga keselamatan bersama di jalan raya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg