Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua lelaki S’pura ditahan selepas gaduh dari pusat beli-belah hingga balai polis Larkin

Dec 23, 2025 | 1:22 PM
lelaki S’pura, gaduh dari pusat beli-belah Johor, balai polis Larkin
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Raub Selamat. - Foto FACEBOOK POLIS DAERAH JOHOR BAHRU SELATAN

Polis menahan dua lelaki warga Singapura selepas terlibat dalam insiden gaduh dan kelakuan tidak senonoh yang bermula di sebuah pusat beli-belah sebelum berlarutan hingga ke Balai Polis Larkin, di sini, pada 21 Disember.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Raub Selamat, berkata kejadian pertama dilaporkan berlaku kira-kira 5.20 petang di aras satu sebuah pasar raya di Johor Bahru, manakala kejadian kedua berlaku pada hari sama kira-kira 6.15 petang di kaunter aduan Balai Polis Larkin.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila berlaku pertikaian antara kedua-dua suspek berusia 46 dan 56 tahun di pusat beli-belah berkenaan.

“Keadaan menjadi tegang apabila salah seorang suspek tidak berpuas hati selepas ditegur oleh isteri seorang lagi suspek yang mendakwa hampir dilanggar serta terkena air minuman yang tertumpah.

“Pertikaian itu mencetuskan pergaduhan sehingga memerlukan campur tangan pihak polis yang sedang menjalankan tugas rondaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Disember.

ACP Raub berkata kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Larkin untuk tindakan lanjut. Namun, ketika salah seorang suspek sedang membuat laporan polis, seorang lagi suspek tiba-tiba menyerang sehingga berlaku pergelutan di dalam kawasan balai polis sebelum keadaan berjaya dikawal dan dileraikan oleh anggota bertugas.

Akibat kejadian itu, kedua-dua suspek mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, bagi mendapatkan rawatan. Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua mereka mendapati keputusan negatif dadah.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh serta Seksyen 90 Akta Polis 1967 berkaitan kelakuan tidak senonoh di kawasan balai polis.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 ($316) atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, manakala bagi kesalahan di bawah Akta Polis, denda sehingga RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek telah dibenarkan reman selama dua hari bermula 22 Disember hingga 23 Disember bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam pada itu, ACP Raub menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan, kelakuan tidak senonoh dan gangguan ketenteraman awam, khususnya di kawasan balai polis.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhemah, mematuhi undang-undang dan menyalurkan sebarang pertikaian melalui saluran yang betul.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg