Seorang lelaki warga Singapura berusia 32 tahun cedera selepas kereta jenis Audi yang dipandunya terbabas dan merempuh empat buah rumah di Jalan Harimau, Taman Century, Johor Bahru, awal pagi 24 November.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Raub Selamat, berkata kejadian berlaku kira-kira 5.15 pagi ketika pemandu berkenaan gagal mengawal kenderaan semasa hujan lebat dan keadaan jalan licin.
Menurut beliau, kenderaan itu kemudian melanggar empat rumah kediaman bernombor 31, 33, 35 dan 37 di jalan berkenaan, mengakibatkan kerosakan pada pagar hadapan, dinding, bumbung anjung serta pintu pagar keempat-empat rumah terbabit.
“Pemandu mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Columbia Asia untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu siaran media pada 18 Disember.
ACP Raub berkata ujian saringan awal alkohol ke atas pemandu berkenaan mendapati keputusan negatif.
Bagaimanapun, saman telah dikeluarkan di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam kes berlainan, ACP Raub mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti di tepi Sungai Bayu Puteri, Majidee, Johor Bahru, pada 17 Disember.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan menerusi talian kecemasan MERS 999 mengenai penemuan objek yang disyaki mayat terdampar di tepi sungai kira-kira 5.10 petang.
Beliau berkata sepasukan polis dari Balai Polis Majidee bersama Unit Rondaan Cergas Johor dan Unit Rondaan Sektor segera ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan awal.
“Hasil pemeriksaan mendapati mayat adalah seorang lelaki yang tidak dikenal pasti bangsanya, yang ditemui dalam keadaan badan kembung dan mereput, selain tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat berkenaan.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bedah siasat telah dijalankan, namun punca kematian diklasifikasikan sebagai tidak dapat dipastikan berikutan keadaan mayat yang telah mereput,” katanya.
Sehubungan itu, ACP Raub meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan hilang, atau mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan, tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Polis Majidee di talian 07-331 5522, IPD Johor Bahru Selatan (07-218 2323) atau Bilik Gerakan IPD Johor Bahru Selatan (07-218 2323).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg