Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua pemandu lori ditahan di Kelantan, cuba seludup pokok hiasan bernilai RM3.44 juta dari Thailand

May 20, 2025 | 2:32 PM
Antara pokok hiasan yang dirampas dalam Op Taring Wawasan Kelantan.
Antara pokok hiasan yang dirampas dalam Op Taring Wawasan Kelantan. - Foto ihsan BRIGED TENGGARA PGA RASMI

PASIR MAS (Kelantan): Dua pemandu lori ditahan di lokasi berasingan di Jeram Perdah dan Chabang Empat, Tumpat, selepas dikesan cuba menyeludup masuk pelbagai jenis pokok hiasan dari Thailand yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM3.44 juta ($1.04 juta).

Rampasan itu dilakukan oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan di kedua-dua kawasan tersebut pada 19 Mei, lapor Kosmo!.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid, berkata rampasan pertama dilakukan kira-kira 7.30 malam di Pos Pok Teh Kana, Jeram Perdah, selepas pihaknya menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun.

“Pemeriksaan menemui sebanyak 15,000 pokok buluh hijau dan 30 pokok ru yang dipercayai diseludup dari Thailand. Siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan dipercayai dalam perjalanan menghantar tanaman tersebut ke sebuah nurseri di Johor.

“Nilai keseluruhan rampasan, termasuk lori yang digunakan, dianggarkan mencecah RM1.02 juta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam serbuan berasingan pada hari yang sama sekitar 10 malam, pasukan PGA menahan sebuah lagi lori yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Ana, Chabang Empat, Tumpat.

“Hasil pemeriksaan menemui 115 pokok bonzai kayu hitam, 3,000 pokok bunga melur, 5,000 pokok bunga papan dan 3,000 pokok bunga cina yang turut disyaki diseludup dari Thailand,” katanya.

Datuk Nik Ros Azhan berkata lori itu dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai sedang dalam perjalanan menghantar tanaman tersebut ke sebuah nurseri di Perak.

“Nilai rampasan dalam kes kedua, termasuk lori yang digunakan, dianggarkan sekitar RM2.42 juta,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa kedua-dua pemandu lori dan semua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg