Empat lelaki Indonesia yang didakwa memasuki perairan Singapura tanpa dokumen perjalanan didakwa mempunyai 2,700 pek rokok seludup.
Pada 19 Mei, Ripan, 28 tahun; Mahyudin, 32 tahun; Asmin Alexander, 50 tahun, dan Ridwan Akarin, 50 tahun, masing-masing didakwa dengan satu pertuduhan memasuki Singapura tanpa pas yang sah.
Ripan dan Mahyudin hanya menggunakan satu nama, lapor The Straits Times (ST).
Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataan bersama pada 18 Mei berkata keempat-empat lelaki tersebut dikatakan berada dalam sebuah perahu kecil di laut berhampiran Pulau Tekong apabila Polis Pengawal Pantai (PCG) mengesan mereka tidak lama sebelum 1.30 pagi pada 17 Mei.
Pegawai dari PCG, Kontinjen Gurkha, Komando Operasi Khas dan Unit K-9 kemudian bertindak dan menangkap keempat-empat lelaki Indonesia yang tidak bersenjata itu.
“Lelaki-lelaki tersebut ditahan di luar kawasan perlindungan Pulau Tekong. Mereka didakwa ditemui tanpa dokumen perjalanan dan memiliki barangan yang tidak diisytiharkan.
“Sebanyak 2,700 pek rokok pelbagai jenis tanpa cukai, dan sebuah perahu yang dilengkapi dengan satu enjin luar, dirampas dalam operasi tersebut,” kata jurucakap polis.
Kes lelaki-lelaki itu akan disebut semula di mahkamah pada 26 Mei.
Pesalah yang disabitkan kesalahan memasuki Singapura secara haram boleh dipenjarakan sehingga enam bulan dan menerima sekurang-kurangnya tiga sebatan rotan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg