Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara membongkar kegiatan penyeludupan ayam sejuk beku ke negara jiran selepas merampas 31,200 kilogram kaki dan hati ayam sejuk beku bernilai lebih RM1.8 juta ($546,000) yang disimpan sebuah gudang tinggal di Padang Besar, Malaysia, pada 28 April.
Dalam serbuan pada 7 malam itu, anggota PGA daripada Batalion 1 PGA Ulu Kinta, Perak, turut menahan dua lelaki warga Thailand berusia 22 dan 34 tahun, yang dipercayai penjaga gudang berkenaan yang terletak di Kawasan Perindustrian Padang Besar berhampiran Jalan Kangar-Padang Besar.
Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim, berkata pihaknya melakukan risikan terhadap kegiatan berkenaan sejak dua minggu lalu sebelum bertindak menyerbu gudang berkenaan pada 28 April.
“Sebelum serbuan dilakukan, kita turut melakukan pemerhatian di lokasi kejadian di mana mendapati dua lori pikap berpendaftaran Thailand jenis Toyota Hilux sedang memasuki gudang berkenaan.
“Kita kemudian menyerbu gudang berkenaan dan berjaya menahan kedua-dua suspek itu ketika mereka sedang leka memasukkan bahagian ayam sejuk beku ke pikap berkenaan dan pemeriksaan mendapati terdapat barangan ubi kentang seberat 1,400 kilogram dan kaki ayam sejuk beku seberat 5,200 kilogram dalam kenderaan sama.
“Pemeriksaan selanjutnya di gudang itu kemudian menjumpai lima kontena dijadikan peti sejuk beku serta tempat penyimpanan bagi kaki dan hati ayam dibungkus dalam kotak dan plastik yang dianggarkan berat sebanyak 41,200 kilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di gudang berkenaan di Kawasan Perindustrian Padang Besar pada 29 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata pihaknya turut menemui sebuah jentera ‘forklift’ yang digunakan untuk mengeluarkan barangan ayam sejuk beku ini daripada kontena berkenaan sebelum diisi ke dalam lori pikap itu.
“Semakan kita mendapati, gudang ini dijadikan sebagai transit untuk barangan ayam sejuk beku ini sebelum dibawa ke Thailand menggunakan lori pikap yang sering digunakan untuk membawa barangan runcit.
“Malah, kaki dan hati ayam sejuk beku ini didapati tidak mempunyai kelulusan sijil kesihatan veterinar dibawah Seksyen 13 Akta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sebagai syarat untuk dieksport ke negara jiran.
“Dalam masa yang sama juga, kedua-dua suspek ini turut didapati tidak mempunyai permit pekerjaan yang sah yang boleh disiasat mengikut Peraturan Imigresen,” katanya.
Beliau berkata selain kaki dan hati ayam sejuk beku, pihaknya turut merampas dua lori pikap jenis Toyota Hilux dari negara Thailand, lima buah kontena, ubi kentang dan jentera ‘forklift’ dianggarkan bernilai RM1.893 juta.
“Kita percaya kontena ini sudah lama diletakkan di sini dan gudang ini juga sudah lama digunakan sejak 2022 namun ia terbiar kerana tidak ada sebarang perniagaan dilaksanakan di sini.
“Malah, jika kita lihat kaki dan hati ayam ini tidak dibungkus dengan elok mengikut spesifikasi, malah air darah ayam ini juga dilihat masih menitik dimana ia boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan,” katanya.
Encik Shahrum berkata kedua-dua suspek akan diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg