Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua pemimpin mahu tamatkan prejudis Melayu terhadap DAP

Apr 8, 2025 | 11:33 AM
Naib Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) merangkap Ahli Parlimen Bangi (Selangor), Encik Syahredzan Johan, dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Bentong (Pahang), Cik Young Syefura Othman.
Naib Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) merangkap Ahli Parlimen Bangi (Selangor), Encik Syahredzan Johan, dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Bentong (Pahang), Cik Young Syefura Othman. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Dua pemimpin Melayu dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) tampil menyuarakan hasrat serta kesungguhan mereka untuk mengubah stigma dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat khususnya orang Melayu terhadap parti itu.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Encik Syahredzan Johan, berkata seperti dijelaskan ramai pemimpin DAP sebelum ini, parti itu tidak pernah mengetepikan, apatah lagi menolak berkenaan kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu.

“Dalam kongres parti jelas menyatakan dalam ketetapan yang diluluskan perwakilan bahawa DAP menjunjung apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera di Sabah dan Sarawak, kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu serta kepentingan masyarakat minoriti yang ada dalam Malaysia. Itu jelas.

“Kami sebagai CEC (Jawatankuasa Eksekutif Pusat) DAP akan memainkan peranan menyokong dan membantu untuk memperkukuh parti supaya parti terus menjadi pilihan bukan setakat orang bukan Melayu, bahkan kita perkukuh untuk menjadi pilihan masyarakat Melayu yang secara tradisinya tidak menyokong DAP secara menyeluruh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen (AP) Bentong (Pahang), Cik Young Syefura Othman, di ibu pejabat DAP, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Syahredzan, yang juga AP Bangi (Selangor), berkata masyarakat khususnya orang Melayu seharusnya tidak mudah terikut-ikut dengan naratif salah dan negatif dilempar pihak tertentu mengenai DAP, sebaliknya menilai mereka daripada prestasi kerja pemimpinnya di kawasan masing-masing.

“Dengan adanya penyertaan orang Melayu (dalam DAP) kita boleh secara perlahan pecahkan prejudis orang Melayu.

“Kalau mahu tahu bagaimana DAP, kalau tak yakin datanglah ke (Parlimen) Bentong dan Bangi, tengok kami buat kerja.

“Khidmat yang diberikan ini dalam menjalankan tanggungjawab kami sebagai wakil rakyat daripada bangsa Melayu daripada DAP. Program di masjid dan surau tidak ada masalah langsung antara DAP dengan Melayu serta Islam,” katanya.

Sementara itu, Cik Young Syefura, berkata dalam pemilihan baru-baru ini, DAP sekali lagi menunjukkan keterbukaan mereka melaksanakan pembaharuan bukan saja sebagai parti berbilang kaum, bahkan dalam mengangkat suara wanita dan anak muda.

“Ini peluang besar bagi kami dan untuk mendukung aspirasi parti dalam membuat dasar.

“Memang bukan mudah untuk kita mengubah sentimen. Sampai sekarang masih ada sentimen (DAP parti pro) komunis. Tapi kita tumpukan kepada gerak kerja parti serta bagaimana mereka (pemimpin DAP) berkhidmat di kawasan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg