Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Had jawatan PM dua penggal pastikan sistem pemerintahan lebih telus

Mar 30, 2025 | 5:30 AM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyokong cadangan mengehadkan pengisian jawatan perdana menteri kepada dua penggal.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyokong cadangan mengehadkan pengisian jawatan perdana menteri kepada dua penggal. - Foto BERNAMA

Dalam sistem demokrasi berparlimen, perdana menteri memainkan peranan penting bagi memastikan kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan keharmonian sosial.

Kepentingan jawatan Perdana Menteri ini menyebabkan ia sering menjadi perbincangan dalam kalangan ahli politik dan masyarakat.

Terkini, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, mencadangkan pengisian jawatan itu dihadkan kepada dua penggal sahaja dan ia turut disokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara asas cadangan ini bertujuan memastikan kestabilan politik, keadilan dalam pengagihan kuasa serta mencegah pemusatan kuasa yang boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan autoritarianisme.

Dalam sejarah dunia, terdapat pemimpin memegang jawatan lebih daripada dua penggal melalui perubahan perlembagaan atau pengaruh besar terhadap institusi negara.

Presiden Russia Vladimir Putin; Presiden China Xi Jinping; dan Encik Robert Mugabe sebagai Presiden Zimbabwe antara pemimpin yang berada di tampuk kuasa bagi tempoh sangat panjang.

Keadaan ini dilihat membawa kepada pelbagai isu termasuk ketidakstabilan politik, rasuah dan pelanggaran hak asasi manusia. Dalam konteks Malaysia, kesan daripada tempoh pemerintahan terlalu panjang juga tidak dapat dinafikan.

Sebagai contoh, Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri selama lebih dua dekad, iaitu antara 1981-2003, disifatkan pemerhati politik dan pentadbiran membawa kepada pemusatan kuasa dalam tangannya.

Keadaan ini menyebabkan institusi negara menjadi terlalu bergantung kepada beliau, banyak keputusan penting dibuat seorang individu sahaja.

Menetapkan had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri adalah langkah penting dalam mengelakkan pemusatan kuasa berpanjangan pada tangan seorang pemimpin. Dengan adanya had ini, sistem pemerintahan Malaysia menjadi lebih seimbang dan telus.

Keputusan penting akan membabitkan lebih banyak pihak, bukan hanya tertumpu kepada seorang individu. Ini dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa dan meningkatkan akauntabiliti pemimpin kepada rakyat.

Selain itu, dengan peralihan kuasa lebih teratur, Malaysia dapat mengelakkan ketegangan politik yang mungkin berlaku apabila sesebuah pemerintahan terus berkuasa bagi tempoh terlalu lama.

Bagi memastikan Malaysia terus maju, kestabilan politik berterusan amat penting. Had dua penggal seorang pemimpin menjadi Perdana Menteri ini berpotensi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan serta menarik minat pelabur asing.

Pelaburan asing yang kukuh akan memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. Pada masa sama, had penggal jawatan Perdana Menteri dapat mendorong pembaharuan dalam pentadbiran negara.

Dengan peralihan kuasa teratur, pemimpin baru dapat membawa idea dan pendekatan baru yang lebih segar dan relevan dengan cabaran semasa seperti perubahan iklim, ekonomi digital serta ketidaksamaan sosial.

Sistem terbuka ini akan membolehkan lebih banyak individu berkebolehan tampil memimpin negara dan memperkenalkan dasar lebih progresif.

Selain itu, pelaksanaan had penggal ini juga selaras dengan prinsip asas demokrasi yang menekankan pengagihan kuasa dan penyertaan rakyat dalam proses pemerintahan.

Dalam sistem demokrasi matang, kuasa tidak seharusnya tertumpu kepada individu atau kelompok tertentu bagi tempoh terlalu lama. Had penggal ini berfungsi sebagai mekanisme mengelakkan budaya ‘kultus personaliti’ yang boleh merosakkan institusi demokrasi.

Dengan membenarkan peralihan kuasa setiap dua penggal, sistem pemerintahan Malaysia dapat kekal relevan dengan kehendak dan keperluan rakyat.

Di samping itu, had penggal dapat mempertingkatkan lagi akauntabiliti pentadbiran kerajaan. Rakyat akan berasa lebih dihormati kerana diberikan peluang memilih pemimpin baru secara berkala dan ini akan membawa perubahan positif dan bertindak mengikut aspirasi rakyat.

Hal ini akan mengukuhkan lagi sistem demokrasi di Malaysia, memastikan ia terus berkembang dengan matang dan inklusif.

Malaysia boleh mengambil contoh terbaik daripada amalan beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Britain untuk memastikan pembangunan mampan dan berterusan.

Sokongan majoriti rakyat Malaysia terhadap had penggal bagi jawatan Perdana Menteri menunjukkan mereka mahukan sistem pemerintahan lebih telus, adil dan bertanggungjawab.

Cadangan ini dapat meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi Parlimen dan kerajaan serta menunjukkan Ahli Parlimen (AP) prihatin terhadap suara serta aspirasi rakyat.

Selain itu, langkah ini juga menunjukkan kepimpinan negara akan sentiasa diperbaharui, sekali gus memastikan negara tetap maju dan progresif dalam suasana lebih demokrasi.

Pemimpin baru yang muncul selepas tempoh dua penggal mungkin dapat membawa perubahan dalam dasar kerajaan yang lebih relevan dengan zaman.

Ini penting kerana cabaran dan isu negara sentiasa berubah, maka negara perlu memiliki kepimpinan dinamik dan berwawasan untuk menangani masalah ini dengan efektif.

Kesimpulannya, had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri adalah langkah wajar untuk mengurangkan pemusatan kuasa pada tangan seorang pemimpin serta memperkukuh demokrasi dan tadbir urus lebih baik.

Dengan sokongan penuh daripada rakyat dan AP, Malaysia dapat bergerak ke arah pemerintahan lebih telus, adil dan progresif.

Penulis adalah Penyelidik di Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia. Rencana ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg