Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin baru terajui DAP

Guan Eng gagal pertahan jawatan Pengerusi Kebangsaan, Gobind dipilih sebagai pengganti
Mar 17, 2025 | 4:00 PM
Ahli Parlimen (AP) Damansara (Kuala Lumpur), Encik Gobind Singh Deo (kiri), menerima undian tertinggi untuk menewaskan Encik Lim Guan Eng (tengah) bagi jawatan Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang baru pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18, pada 16 Mac. AP Seremban (Negeri Sembilan), Encik Anthony Loke (kanan) pula kekal untuk penggal kedua sebagai Setiausaha Agung DAP.
Ahli Parlimen (AP) Damansara (Kuala Lumpur), Encik Gobind Singh Deo (kiri), menerima undian tertinggi untuk menewaskan Encik Lim Guan Eng (tengah) bagi jawatan Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang baru pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18, pada 16 Mac. AP Seremban (Negeri Sembilan), Encik Anthony Loke (kanan) pula kekal untuk penggal kedua sebagai Setiausaha Agung DAP. - Foto FACEBOOK GOBIND SIGN DEO

Parti Tindakan Demokratik (DAP) diterajui kepimpinan baru pada 2025, selepas Encik Lim Guan Eng gagal mempertahankan jawatan disandangnya sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP sejak Mac 2022.

Ahli Parlimen (AP) Damansara (Kuala Lumpur), Encik Gobind Singh Deo, dipilih menggantikan Encik Lim sebagai Pengerusi Kebangsaan yang baru pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18, pada 16 Mac.

Encik Gobind yang juga Menteri Digital, turut meraih undian tertinggi dalam pemilihan CEC DAP dengan 2,785 undi.

Kira-kira 79 peratus daripada 4,203 perwakilan daripada 1,650 cawangan yang berdaftar dengan parti itu telah mengundi.

Bagaimanapun, Encik Lim, yang juga AP Bagan (Pulau Pinang), dilantik sebagai Penasihat DAP bagi menggantikan penyandangnya, Encik Tan Kok Wai.

Mereka dipilih ke jawatan itu selepas persidangan 30 anggota CEC – jawatankuasa tertinggi dalam parti – usai pemilihan parti pada kongres berkenaan.

Encik Lim yang berjaya mempertahankan kedudukan sebagai CEC DAP namun merosot ke tangga 26, dalam reaksinya berkata beliau menghormati keputusan perubahan penyandang jawatan Pengerusi Kebangsaan itu kerana ia ditentukan oleh ahli parti sendiri dan bukannya orang luar.

“Masa depan saya ditentukan ahli dan bukan orang luar DAP. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengundi saya,” kata anak veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, itu.

Kekosongan jawatan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP yang sebelum ini disandang Encik Gobind diisi oleh AP Teluk Intan (Perak), Encik Nga Kor Ming, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dalam pada itu, AP Seremban (Negeri Sembilan), Encik Anthony Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, pula kekal menerajui DAP sebagai Setiausaha Agung – kedudukan paling berpengaruh dalam perlembagaan parti itu – bagi penggal kedua berturut-turut.

Encik Loke akan dibantu oleh tiga Timbalan Setiausaha Agung iaitu AP Bukit Mertajam (Pulau Pinang) yang juga Menteri Sumber Manusia, Encik Steven Sim; AP Segambut (Kuala Lumpur) merangkap Menteri Belia dan Sukan, Cik Hannah Yeoh; serta AP Bukit Gelugor (Pulau Pinang), Encik Ramkarpal Singh.

Lima jawatan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP pula diisi oleh AP Stampin (Sarawak), Encik Chong Chieng Jen; Timbalan Menteri Komunikasi, Cik Teo Nie Ching; dan AP Bangi, Encik Syahredzan Johan.

Dua lagi ialah Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim; serta Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, Encik J Arul Kumar.

Encik Syahredzan dan seorang lagi, AP Bentong (Pahang), Cik Young Shefura Othman, menjadi dua calon Melayu yang tersenarai dalam 30 ahli CEC.

Terdahulu Encik Lim ketika berucap sebelum pengundian diadakan, memberi peringatan bahawa DAP tidak akan menjadi yes-man atau ‘pak turut’ meskipun merupakan ‘rakan setia’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut hadir pada Kongres DAP itu.

“DAP adalah rakan yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah pun dibuktikan sejak (Tan Sri) Lim Kit Siang menjadi setiausaha agung hingga sekarang (Encik) Anthony Loke, kita tidak berbelah bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Namun biar saya tegaskan bahawa DAP bukan parti yes-man. DAP hanyalah yes-man kepada pengundi kita dan rakyat Malaysia,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg