Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Johor tembak mati suspek kes samun bersenjata dalam operasi khas di Kluang

May 22, 2025 | 2:42 PM
Datuk M Kumar, Polis Johor, tembak mati, curi bersenjata
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar. - Foto fail NSTP

Polis Johor berjaya menumpaskan seorang lelaki warga Indonesia disyaki suspek utama dalam beberapa siri kes samun selepas berlaku pergelutan ketika rondaan cegah jenayah di kawasan Kampung Palembang, Kluang, Johor, pada awal pagi 22 Mei.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata operasi membanteras jenayah samun itu dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor bermula 19 Mei susulan beberapa kejadian samun yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata pada 22 Mei kira-kira 3.45 pagi, sepasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ Kontinjen Johor telah mengesan sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran yang ditunggang secara mencurigakan oleh seorang lelaki.

“Motosikal itu dikesan bergerak laju di kawasan Kampung Palembang dan berjaya dipintas oleh pasukan polis di jalan tidak berturap menuju ke kawasan kebun kelapa sawit.

“Ketika anggota ingin menjalankan pemeriksaan, suspek secara tiba-tiba menyerang anggota dengan melibas parang ke arah mereka, sehingga mengenai lengan pakaian salah seorang anggota,” katanya dalam satu kenyataan media pada 22 Mei.

Menurutnya, polis mengarahkan suspek menyerah diri, namun lelaki terbabit terus bertindak agresif dan menyerang secara bertubi-tubi, menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan demi mempertahankan diri dan keselamatan awam.

“Suspek yang dipercayai warga asing disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa dan identitinya masih disiasat,” katanya.

Menurut Datuk Kumar, hasil pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan sebilah parang, wang tunai RM1,900 ($575), dua telefon bimbit dan sebuah motosikal jenis Honda Wave.

Siasatan awal mendapati salah satu telefon bimbit milik suspek dikenal pasti sebagai milik mangsa dalam kes samun di Kluang, manakala motosikal yang digunakan pula dilaporkan hilang di daerah Kulai.

“Hasil maklumat awam dan risikan polis, suspek dipercayai aktif dalam kegiatan samun sejak 2024.

“Berdasarkan siasatan, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun – lima di Kluang dan satu di Kota Tinggi – hasil daripada kejadian ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan turut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg