KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dan seorang wanita warga Singapura ditemui mati dalam sebuah rumah inap di Taman Tayton View, Cheras, pada 17 Mei.
Kedua-dua mereka ditemui mati dalam sebuah bilik di rumah inap itu yang kesemua ruang udara pada bahagian pintu dan tingkap ditutup dengan pita pelekat serta plastik sampah, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, berkata mayat lelaki berusia 43 tahun dan wanita berusia 33 tahun itu, ditemui pekerja rumah inap berkenaan yang memeriksa kediaman itu selepas si mati gagal dihubungi beberapa kali melalui panggilan telefon.
“Siasatan awal mendapati, tiada sebarang kecederaan luaran di bahagian tubuh badan si mati dan tiada sebarang unsur jenayah serta kedua-dua mereka lengkap berpakaian.
“Keadaan kedua-dua tubuh si mati yang masih belum diketahui status hubungannya didapati mulai mereput dan berbau busuk.
“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan mayat ditemui mendapati pendingin hawa dan tingkap bilik dibalut dengan plastik sampah berwarna biru dan ditampal dengan pita pelekat,” katanya kepada media pada 18 Mei.
Encik Aidil berkata pihaknya turut menemui pemanggang berbeku yang mempunyai sisa arang yang sudah dibakar, selain dua kotak arang.
“Selain itu, polis turut menemui bekas dadah disyaki jenis ketamin dalam bekas piring dalam bilik kedua-dua si mati yang ditemui.
“Kita masih menyiasat sejak bilakah kedua-dua si mati berada di rumah inap ini, selain punca kematian dan tujuan mereka berada di rumah inap itu.
“Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) untuk bedah siasat,” kata Encik Aidil lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg