Dulu kerja kilang, kini ukir daun sebagai kerjaya
Dulu kerja kilang, kini ukir daun sebagai kerjaya
Dulu kerja kilang, kini ukir daun sebagai kerjaya
MALAYSIA: Siapa sangka, sehelai daun yang biasanya hanya gugur ke bumi mampu menjadi seni luar biasa sehingga dapat mengubah hidup seorang bekas pekerja kilang.
Bermula sebagai hobi di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021, ukiran daun kini, menjadi punca rezeki Encik Muhammad Hafizi Abdul Karim, 34 tahun.
Berasal dari Sungai Petani, Encik Hafizi yang mesra disapa Fizi, menghasilkan lebih 5,000 ukiran daun sejak tiga tahun lalu, mengabadikan pelbagai imej termasuk potret tokoh kenamaan, pemandangan hingga rekaan bercorak abstrak.
Bapa kepada tiga orang anak itu mengakui ukiran daun memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi kerana sebarang kesilapan boleh merosakkan keseluruhan karyanya.
“Saya mulakan dengan daun teja sebab itu yang mudah saya dapat di sekeliling rumah, tapi sekarang saya lebih selesa guna daun cenerai sebab bentuknya lebih besar dan permukaannya rata, jadi lebih mudah untuk saya ukir.
“Lain dengan melukis atas kertas yang boleh dipadam kalau tersilap. Bila ukir atas daun, kita kena fokus betul-betul. Kalau terlebih potong, kadang-kadang boleh perbaiki tapi kalau dah teruk sangat, kena ukir semula di daun lain,” katanya kepada Berita Harian Online.
Menurut Encik Hafizi, pisau yang digunakan adalah jenis bermata runcing dan tajam, biasa dijual di kedai dan tidak perlu ditempah khas.
Walaupun peralatan mudah, proses menghasilkan satu ukiran boleh mengambil masa antara beberapa jam hingga beberapa hari bergantung kepada tahap kerumitan.
“Lukisan paling mencabar saya pernah buat ialah ukir kaabah, saya ukir atas daun cenerai dan ambil masa tiga hari untuk siapkan sebab perlu lukis orang ramai beribadat di depan kaabah,” katanya yang turut mampu membuat ukiran khat pada daun.
Beliau kini mampu menjana pendapatan mencecah antara RM3,000 ($905) hingga RM5,000 sebulan melalui tempahan ukiran daun daripada pelanggan seluruh negara.
Menurutnya, beliau kini turut menerima tempahan dari Singapura dan Brunei.
“Tak sangka ramai juga yang berminat dengan ukiran saya sehingga ke luar negara, dari Indonesia pun ada tapi saya terpaksa tolak kerana kos penghantaran agak mahal,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kenangan manis dalam kerjayanya, Hafizi berkata beliau berasa bangga dan bersyukur apabila ukiran potret wajah Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mendapat perhatian daripada pasangan negarawan itu.
Malah beliau diundang menyerahkan hasil seninya sendiri di kediaman mereka di Alor Setar pada 2021.
“Perjumpaan bersama Tun berlangsung selama setengah jam, saya sangat teruja dan rasa sangat dihargai sebab beliau sendiri terima hasil tangan saya.
“Malah, Tun ada sebut tentang saya dalam video TikTok beliau,” katanya tersenyum.
Encik Hafizi juga berharap lebih ramai anak muda berani meneroka bidang kemahiran kreatif.
“Saya nasihatkan anak muda yang mungkin tak minat belajar, cuba cari satu kemahiran. Hidup sekarang makin mencabar. Kalau ada kemahiran, contohnya bertukang atau macam saya buat ukiran, kita boleh bina kerjaya sendiri,” katanya.
Katanya, minat yang mendalam serta kesungguhan adalah kunci kejayaan walaupun dalam bidang yang tampak asing pada mata masyarakat.
“Bagi saya, setiap orang ada ruang masing-masing untuk berjaya. Cuma kena usaha lebih sikit dan jangan takut nak buat benda lain daripada yang lain,” katanya yang juga pernah mendapat perhatian daripada pelbagai tokoh lain dan agamawan.
Buat masa ini Encik Hafizi hanya menjual karyanya secara dalam talian termasuk di TikTok atas nama ‘Hafizi Eiji’.
Harga bagi satu ukiran yang dibingkaikan bermula dari RM98 hingga ratusan ringgit dan bagi yang tiada bingkai harganya adalah RM73.

