BESUT: Walaupun ada yang menawarkan untuk membeli lukisan arwah anak mereka dengan harga RM400 ($120.73) sekeping, sepasang suami isteri ini memutuskan tidak akan menjualnya kerana kerja seni itulah kenangan terakhir tentang arwah yang terpahat di ingatan.
Begitulah keputusan Encik Rosde Yaakub, 58 tahun, dan isteri, Cik Juariah Abdul Rahman, 48 tahun, bapa dan ibu kepada Encik Muhammad Mustaqim, 21 tahun, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut bersama 14 siswa lain dalam nahas sebuah bas sewa khas di Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.
Ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di rumahnya di Kampung Telaga Nibong, Jertih, pada 15 Jun, Encik Rosde berkata anak kedua mereka daripada empat beradik yang mesra dipanggil Aqim itu sangat meminati seni lukis.
“Sebab itu dia sambung pengajian dalam bidang seni di universiti,” kata Encik Rosde sambil memaklumkan Allahyarham adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Hulu Besut sehingga Tingkatan Lima.
Anaknya itu kemudian menyambung pendidikan Tingkatan Enam di SMK Seri Nering dalam aliran sastera dan seni.
“Koleksi lukisan arwah dianggarkan lebih 100 keping. Selepas pemergiannya, baru kami tengok koleksi lukisan yang tersimpan rapi dalam fail. Arwah sempat jual tiga hasil lukisannya, ada dengan harga RM100 sekeping sebelum dia masuk UPSI,” katanya lagi.
Katanya, arwah banyak menghabiskan masa dengan melukis sekiranya ada waktu terluang dan turut mengambil upah membuat tulisan kreatif pada kain rentang serta cermin hiasan majlis kenduri.
Encik Rosde memaklumkan, arwah juga berhasrat menyambung pengajian dalam bidang pendidikan selepas menamatkan pelajaran dalam bidang seni untuk mengikut jejak langkah kakak sulungnya.
Sementara itu, Cik Juariah berkata pada malam kejadian, Encik Mustaqim meminta izin daripadanya untuk solat Isyak berjemaah di Masjid Hadhari, Jertih.
“Sejak masuk universiti, dia makin rajin ke masjid untuk solat dan berbuka puasa kerana kebetulan kolej kediamannya berhampiran masjid. Selalunya setiap Isnin dan Khamis, dia berpuasa sunat.
“Aqim sempat pesan kepada rakan sebilik, jangan tinggal solat sebelum pulang ke kampung menyambut Aidiladha,” katanya mengimbau kenangan, termasuk perbualan mereka pada hari-hari terakhir beliau bersama anaknya itu.
Katanya, arwah juga sering berdampingan dengan Al-Quran dan pernah meminta supaya diposkan Al-Quran yang tertinggal di rumah ke UPSI untuk dibacanya pada setiap malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg