Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dulu pelajar lemah, sekarang jadi pempengaruh popular

Pasangan kembar Amin dan Abid dulu dalam kelas tercorot, kini menang pelbagai anugerah pencipta kandungan
Oct 6, 2024 | 5:30 AM
Pasangan kembar, Amin (kanan) dan adiknya, Abid (kiri) dinobatkan pemenang kategori Education Creator Of The Year (Pencipta Kandungan Pendidikan Terbaik) pada Anugerah TikTok Malaysia 2024, baru-baru ini, atas daya ciptaan inovasi yang kreatif dan memukau.
Pasangan kembar, Amin (kanan) dan adiknya, Abid (kiri) dinobatkan pemenang kategori Education Creator Of The Year (Pencipta Kandungan Pendidikan Terbaik) pada Anugerah TikTok Malaysia 2024, baru-baru ini, atas daya ciptaan inovasi yang kreatif dan memukau. - Foto ihsan AMIN ABID

Kalau dulu mereka pelajar di kelas belakang dan tercicir, kini mereka sudah di puncak kejayaan.

Tiada yang mustahil buat pasangan kembar yang dikenali sebagai Amin dan Abid, kerana bagi mereka kuncinya hanya perlu percaya pada bakat serta kelebihan diri dan tahu bagaimana menggunakannya untuk menyerlahkan potensi diri.

Pegangan prinsip itu telah merubah kehidupan Amin dan Abid atau nama sebenar mereka, Muhammad Amin dan Muhammad Abid Othman, kedua-duanya 24 tahun, yang kini diminati ramai sebagai pempengaruh media sosial popular di Malaysia.

Dalam tempoh lebih tiga tahun meneroka dunia media sosial sejak era pandemik Covid-19 pada 2021, pasangan adik beradik TikTokers berasal dari Manjung, Perak, ini sudah menempa pelbagai kejayaan membanggakan.

Mereka bukan calang-calang pempengaruh.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menerima Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Rektor hasil keputusan cemerlang di universiti, terkenal dengan pelbagai hasil ciptaan kreatif dan inovasi yang meraih perhatian dunia.

Malah dua beradik ini maju selangkah lagi sebagai penyampai motivasi dan kini tidak menang tangan memenuhi jemputan di sekolah dan universiti serata Malaysia.

“Jujurnya, sejak sekolah rendah kami kurang menyerlah dalam akademik. Tetapi meningkat ke sekolah menengah, berkat usaha dan tekad mahu berjaya, akhirnya kami dapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

“Ia membuka jalan untuk kami kembangkan cita-cita menjadi pereka inovasi kreatif dengan melanjutkan pengajian ke universiti. Siapa sangka, daripada pelajar kelas belakang, kami akhirnya menyarung selempang merah jambu sebagai penerima Anugerah Naib Canselor atas keputusan cemerlang di universiti.

“Kami gembira kerana dapat buktikan pelajar kelas belakang juga boleh berjaya, jika percaya pada bakat dalam diri. Kami mahu kongsi pada adik-adik yang kurang cemerlang dalam akademik di sekolah bahawa kita boleh pergi jauh dengan bakat yang ada,” kata Amin dan Abid kepada Berita Minggu (BM).

Mengimbau langkah mereka sebagai pempengaruh media sosial, kongsi Amin dan Abid, semuanya bermula apabila mereka berkongsi video melipat baju di TikTok pada 2022, sebelum ia tular.

“Kami tak pernah terfikir mahu jadi pencipta kandungan, cuma rakam suka-suka untuk hilangkan tekanan. Tetapi tidak sangka selepas muat naik video melipat baju di TikTok, ia dapat sambutan.

“Kemudian kami juga pernah muat naik video buat dapur rumah untuk ibu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada 2021 dan ia juga meletup. Bermula daripada situ kami tahu yang pengikut gemarkan kandungan DIY atau inovatif.

“Dalam masa sama kami juga dapat banyak peluang reka cipta daripada syarikat terkemuka,” kata Amin dan Abid yang pernah menghantar 40 rekaan kereta ke sebuah syarikat kereta ternama dunia.

Ditanya siapakah inspirasi mereka dalam bidang reka cipta inovasi, Amin dan Abid kata bakat diwarisi daripada bapa mereka sendiri, Encik Othman Md Hashim, 63 tahun, yang pernah mencuri tumpuan kerana menghasilkan produk mesin mengupas dan parut kelapa.

“Perjalanan ayah yang kami ikut. Dulu ayah juga pernah ditemu bual rancangan televisyen kerana hasil kreativitinya,” kata mereka yang pernah memenangi Design Project Excellent Award di International Design Exchange Exhibition, di Hanseo University, Korea Selatan.

Berkongsi harapan masa depan, pasangan kembar ini giat mengukuhkan jenama Amin dan Abid dan seusia muda, mereka sudah mempunyai syarikat sendiri yang semakin berkembang.

Kata mereka, media sosial terutama TikTok sudah menjadi platform untuk mereka mendapat job (pekerjaan) dan mencari rezeki.

“Semakin ramai yang nampak akan bakat kami sebagai pencipta kandungan yang ada bakat kreatif dan inovatif, jadi kami anggap media sosial ini platform resume digital kami.

Sekarang ini pencipta kandungan media sosial tumbuh bagai cendawan, tetapi kelainan dan keistimewaan kita akan membuatkan masyarakat kekal menyokong.

“Kami mahu jadikan kandungan media sosial kami sebagai rujukan untuk adik-adik lain belajar, ibarat informal learning (pembelajaran secara tidak langsung),” katanya kepada BM.

Amin dan Abid juga mahu menjadi ikutan kepada anak muda untuk menghasilkan kandungan yang positif dan bermanfaat kepada masyarakat.

“Kita perlu ada minda kelas pertama, sebab itu kami jaga branding (penjenamaan) AminxAbid dan mahu buat yang terbaik untuk komuniti,” katanya.

Kongsi Adib dan Amin, setiap kegagalan yang dihadapi hari ini sebenarnya adalah titik permulaan kejayaan. Pokoknya, jangan putus asa dan jangan sia-siakan peluang kedua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg