Topik diikuti
Pergi ke BHkuDUN Sarawak dibubar 26 Okt, beri laluan PRN-13
DUN Sarawak dibubar 26 Okt, beri laluan PRN-13
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober ini, bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 (PRN13).
Pengumuman itu dibuat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, Kuching, Sarawak, pada 23 Oktober, selepas beliau menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri.
Abang Johari berkata menjelang berakhirnya tempoh penggal DUN, adalah wajar mandat baharu daripada rakyat diperoleh bagi membolehkan mereka menentukan kerajaan pilihan melalui proses demokrasi.
“Selaras amalan demokrasi berparlimen dan bagi memastikan hak rakyat Sarawak untuk memilih kerajaan secara demokratik terus terpelihara, rakyat perlu diberi peluang memilih kerajaan baharu dengan mandat segar bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Sehubungan itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi sudah memberi perkenan terhadap permohonan saya untuk membubarkan DUN.
“...dan berdasarkan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober 2026,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurutnya berdasarkan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, manakala DUN baharu hendaklah dipanggil bersidang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh berkenaan.
Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran DUN bagi membolehkan persiapan berkaitan pilihan raya dibuat, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian akan ditentukan serta diumumkan SPR.
Dalam tempoh berkenaan, katanya kerajaan negeri akan menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara dengan mematuhi keperluan dan amalan perlembagaan, selain memastikan pentadbiran awam serta perkhidmatan penting terus beroperasi demi kebajikan rakyat.
Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kepercayaan dan sokongan diberikan sepanjang penggal ini, selain menghargai jasa Ahli DUN serta perkhidmatan awam dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak, khususnya parti politik, calon dan penyokong supaya menghormati undang-undang serta menjaga tingkah laku dengan penuh tanggungjawab sepanjang tempoh pilihan raya.
DUN Sarawak mempunyai 82 kerusi dan bakal berkembang kepada 99 kerusi selepas SPR meluluskan persempadanan 17 kawasan baharu yang sudah diputuskan DUN Sarawak.
Pada PRN Sarawak pada 18 Disember 2021, GPS menang besar dengan menguasai 76 daripada 82 kerusi, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi empat kerusi dan DAP dua kerusi.
Empat kerusi dimenangi PSB ketika itu ialah DUN Bawang Assan, Engkilili, Ba’Kelalan dan Batu Lintang.