Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemua parti komponen Kerajaan Perpaduan nyata sokongan, kekal bersama hingga akhir penggal
Semua parti komponen Kerajaan Perpaduan nyata sokongan, kekal bersama hingga akhir penggal
Semua parti komponen Kerajaan Perpaduan nyata sokongan, kekal bersama hingga akhir penggal
KUALA LUMPUR: Semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan khususnya Umno/Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan komitmen untuk terus kekal bersama kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga tamat penggal pentadbiran.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, pada 20 Mei.
Menurutnya, komitmen itu dinyatakan pada Mesyuarat Kabinet, selepas Datuk Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyentuh mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal, pada mesyuarat berkenaan.
“Datuk Anwar menyatakan penghargaan terhadap komitmen semua rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya BN, GRS dan GPS yang menegaskan akan terus kekal menyokong dan bersama kerajaan sehingga tamat penggal pentadbiran.
“Komitmen ini mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara.
“Ini sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani cabaran ekonomi menyusuli krisis di Timur Tengah, serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya pada sidang media pada 20 Mei, lapor Astro Awani.
Pada Konvensyen PH 2026 di Johor Bahru pada 17 Mei lalu, Datuk Anwar membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU16 lebih awal, jika rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di Malaysia.
Ia menyusuli keputusan Umno/Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada 16 Mei, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi Umno dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang pilihan raya tersebut.
Kenyataan itu menimbulkan ketegangan dengan Datuk Anwar yang memberi amaran agar tidak ada pihak cuba menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan dan beliau bersedia memulangkan mandat kepada rakyat sekiranya dicabar.
Malah, Datuk Anwar juga berkata beliau berhasrat mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bagi membincangkan perkembangan politik semasa berhubung PRN Johor akan datang.
Dalam masa sama, Pengerusi PH Johor, Encik Aminolhuda Hassan, turut mengumumkan PH bakal bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang, menyusuli penegasan Umno/BN untuk bertanding di semua kerusi DUN.
