Malaysia disaran kembali mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

Langkah ini penting untuk memulihkan kestabilan politik, memperkemas pentadbiran, serta mengelakkan pembaziran wang rakyat di tengah cabaran ekonomi yang kian menekan.

Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi.
Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi. - Foto ZAINAL ABIDIN SANUSI

Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi, berkata trend pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berasingan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan negara terus dibelenggu ketidakstabilan politik, kos pilihan raya yang tinggi serta ‘perang sentimen’ yang berpanjangan.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuktikan impaknya: PRU15 pada 2022 menelan RM725 juta, disusuli kos tambahan RM420 juta bagi PRN enam negeri pada 2023.

Sebahagian besar perbelanjaan ini sebenarnya boleh dijimatkan sekiranya PRN diadakan serentak, sekali gus menghapuskan kos logistik, keselamatan, dan tenaga kerja yang terpaksa ditanggung berulang kali.

“Kerana PRN kini berlaku berperingkat-peringkat, mesin sentimen itu tidak pernah berhenti. Negara sentiasa berada dalam mod berkempen dan perang politik, tidak pernah dalam mod memerintah.

“Dalam keadaan berkempen berpanjangan, mustahil untuk memberi tumpuan kepada membina kestabilan.

“Dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar dan rakyat masih menanggung tekanan kos sara hidup, wajarkah negara terus mengadakan pilihan raya secara berpisah-pisah, satu demi satu?

“Wajarkah ratusan juta ringgit dibelanjakan berulang kali semata-mata kerana parti-parti tidak dapat menyelaraskan kalendar mereka,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Di sebalik desakan segelintir pihak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan serentak dengan PRN Johor dan Negeri Sembilan, beliau kekal dengan pendiriannya.

Fokus kerajaan kini adalah mentadbir negara sepenuhnya, dan tiada keperluan mendesak untuk mengadakan PRU16 dalam masa terdekat.

Profesor Dr Zainal juga berkata, penjimatan bukan satu-satunya faedah, kerana data juga menunjukkan PRN yang diadakan berasingan dengan PRU biasanya mencatat peratusan keluar mengundi yang lebih rendah.

“Ini kerana pengundi yang merantau lebih cenderung pulang mengundi ketika PRU.

“Maka pilihan raya serentak bukan sahaja lebih jimat, malah memberi kerajaan negeri mandat yang lebih kukuh dan memberi negara satu tempoh perang sentimen yang terkawal dalam satu tetingkap, diikuti empat hingga lima tahun untuk benar-benar memerintah,” katanya.

Mengimbau sejarah ‘perpecahan’ PRN dan PRU, Profesor Dr Zainal berkata, sejak sekian lama, PRN di Semenanjung dan Sabah diadakan serentak dengan PRU, memberikan rakyat ruang untuk menentukan kerajaan Persekutuan dan negeri dalam satu tempoh.

Ketika itu, selepas, selepas detik pengundian, negara kembali tenang dan menumpukan usaha membangunkan pentadbiran.

Namun katanya, kitaran tersebut mula terungkai selepas 2020, di mana perkembangan politik termasuk Langkah Sheraton dan pengisytiharan darurat yang menyusul telah menyebabkan beberapa kerajaan negeri bertukar di luar penggal asal.

Langkah Sheraton merujuk kepada pertukaran pentadbiran dan kuasa politik tanpa pilihan raya secara mendadak pada Februari 2020, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-7.

Ia dinamakan sempena satu pertemuan politik di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor, pada 23 Februari 2020, sebelum Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri ke-8.

Ia menyaksikan Sabah mengadakan PRN pada September 2020, diikuti Melaka pada November 2021, Sarawak (Disember 2021) dan Johor (Mac 2022), semuanya berlangsung secara berasingan.

“Apabila PRU15 diadakan pada November 2022, hanya tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang membubarkan DUN serentak dengan Parlimen.

“Sementara enam negeri lain yang ditadbir PH dan Perikatan Nasional (PN), iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, menangguhkan PRN masing-masing atas pelbagai pertimbangan termasuk kebimbangan banjir musim tengkujuh, sebelum akhirnya mengadakan PRN secara serentak pada Ogos 2023.

“Sejak itu, kitaran pilihan raya negara ini tidak pernah benar-benar kembali kepada penyelarasan asal.

“Pilihan raya enam negeri pada Ogos 2023 bertukar menjadi sejenis referendum nasional terhadap Kerajaan Perpaduan yang masih baharu.

“Sabah pula menyusul pada penghujung 2025, manakala Johor dan Negeri Sembilan kini dijadualkan pada pertengahan 2026, dengan Melaka dan Sarawak masih menunggu giliran masing-masing.

“Akibatnya, setiap beberapa bulan, ruang politik negara kembali dipenuhi gelombang sentimen pilihan raya yang berulang tanpa henti,” jelasnya.