Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ECRL jadikan Pahang hab pelaburan, perindustrian, logistik utama Pantai Timur

Aug 15, 2025 | 2:37 PM
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (berdiri) ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (berdiri) ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan. - Foto FACEBOOK WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL

KUANTAN (Pahang): Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap Disember 2026 diyakini mampu menjadikan Pahang sebagai hab pelaburan, perindustrian dan logistik utama di Pantai Timur.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia berdasarkan perancangan pembangunan secara tersusun di tujuh stesen ECRL serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak berkepentingan.

Katanya stesen berkenaan ialah di Bentong, Temerloh, Maran, Paya Besar, KotaSAS, Kuantan Port City dan Cherating yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat dan negeri secara menyeluruh.

“Kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan projek ECRL sebagai pemangkin utama pembangunan ekonomi wilayah, khususnya di Pahang.

“Tujuh stesen ECRL yang dibangunkan di Pahang dilihat mampu menampung keperluan industri berdasarkan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD),” katanya lapor Harian Metro.

Datuk Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan Encik Rizal Jamin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilantik pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, pada 14 Ogos.

Encik Rizal ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan pusat dan taman industri sepanjang jajaran ECRL yang dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan.

Beliau berkata potensi pembangunan industri untuk setiap stesen seperti di stesen Bentong dihubungkan dengan Kawasan Perindustrian Bentong memfokuskan kepada industri berat dan sederhana yang berpotensi memanfaatkan kemudahan logistik ECRL untuk pengangkutan dan akses pasaran.

Katanya stesen Temerloh dibangunkan berhampiran dengan beberapa kawasan perindustrian sedia ada seperti Kawasan Perindustrian Temerloh, Songsang dan Kampung Sempadan untuk pembangunan pelbagai industri termasuk industri perabot dan pemprosesan.

“Stesen Maran dilihat berpotensi dibangunkan sebagai pusat pengumpulan mineral seperti bauksit, emas, silika dan bijih besi.

“Stesen Paya Besar akan menjadi tumpuan pembangunan industri berimpak tinggi menerusi tiga kawasan utama iaitu Pahang Technology Park (PTP), Gambang Halal Park (GHP), dan Kompleks Makanan Halal/Bengkel Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Stesen ECRL KotaSAS akan menyokong perancangan pembangunan di KotaSAS meliputi pusat pertumbuhan perbandaran baru, perumahan bersepadu dan mampu milik serta pusat komersial dan perniagaan moden,” katanya.

Datuk Wan Rosdy berkata stesen Kuantan City Port akan menjadi hub logistik utama yang menghubungkan ECRL ke Pelabuhan Kuantan melalui laluan tambahan.

Katanya stesen Cherating pula dilihat mampu menyokong pembangunan pelaburan dalam sektor pelancongan pesisir pantai, hospitaliti dan eko pelancongan.

“Stesen ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui pelancongan di kawasan Cherating,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg