Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Pahang gesa perkukuh langkah banteras seludup dadah, haramkan ‘vape’

Jul 3, 2025 | 3:37 PM
vape, dadah, seludup, haram, sultan pahang, abdullah ahmad shah
Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, menggesa tindakan agresif kerajaan Malaysia dalam menangani masalah penyeludupan serta pengedaran dadah di negara itu, termasuk kegiatan penagihan dadah menerusi ‘vape’. - Foto FACEBOOK KESULTANAN PAHANG

KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, mahu penguatkuasaan dan kawalan di sempadan Malaysia dipertingkatkan, dalam usaha membanteras penyeludupan serta pengedaran dadah di negara itu.

Dalam masa yang sama, Sultan Pahang turut mengulangi gesaan agar Malaysia mengharamkan vape, atau rokok elektronik, yang menjadi antara punca utama golongan muda terjebak ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung.

Sultan Abdullah berkata tidak ada gunanya pelbagai undang-undang dan hukuman berat bagi kesalahan dadah diwujudkan jika penguatkuasaan bagi pencegahan masih lemah yang menyebabkan dadah mudah diperolehi di negara itu.

Menurutnya, masalah dadah dalam kalangan rakyat kini semakin membimbangkan terutama membabitkan golongan muda, ditambah dengan kewujudan pelbagai jenis dadah sintetik yang mudah diperoleh.

“Kita ada pelbagai undang-undang dan hukuman tetapi masalah dadah masih terus berlaku. Jadi, sumber dadah itu datang dari mana?

“Kita perlu perkukuhkan penguatkuasaan di sempadan, hentikan (penyeludupan dadah) yang menjadi puncanya, sama ada di sempadan (darat) atau melalui lapangan terbang.

“Saya juga dimaklumkan, trend penyeludupan dadah sekarang banyak berlaku di tengah laut melalui kapal nelayan yang menjadi satu lagi kebimbangan.

“Jadi, ada keperluan mendesak untuk pengawasan lebih menyeluruh terutama di negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Tiada gunanya jika kita ada akta dadah dan hukuman yang menakutkan, tetapi penguakuatkuasaan tidak dipergiat.

“Selagi tidak dipertingkatkan penguatkuasaan bagi pencegahan, selagi itu masalah dadah ini akan berulang,” kata Sultan Abdullah, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian pada majlis menerima menghadap barisan kepimpinan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) di Kuala Lumpur, pada 3 Jun.

Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan mengenai budaya menghisap vape khasnya dalam kalangan remaja, yang perlu diharamkan di seluruh negara kerana terbukti memudaratkan kesihatan.

Di Pahang, menurutnya, kerajaan negeri mengharamkan vape dan sedang menunggu kelulusan akta bagi pelaksanaannya.

Vape ini patut diharamkan oleh semua, jangan berasa simpati kepada mereka yang terbabit dalam hal ini. Ini memudaratkan bangsa dan rakyat kita,” ujarnya.

Kerajaan Pahang bersetuju pada 11 Jun lalu untuk mengharamkan penggunaan vape di negeri itu dan fatwa pengharaman penggunaan bahan itu dikeluarkan Pejabat Mufti Pahang.

Sultan Abdullah pada 18 November 2024, menyarankan penggunaan vape diharamkan secara menyeluruh, susulan penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutama dalam kalangan belia, berdasarkan perangkaan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg