Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor perkemas tebatan banjir, tumpu kawasan JS-SEZ, kawasan panas

Jan 2, 2026 | 1:03 PM
Johor, Jawatankuasa, tebatan
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kiri), meninjau kawasan parit di Skudai, Johor Bahru. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Kerajaan Johor memberi jaminan keadaan banjir di negeri itu masih terkawal hasil pelaksanaan berterusan pelbagai projek tebatan banjir, dengan lebih 100 kawasan panas yang dikenal pasti sebelum ini, berjaya ditangani dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata baki sekitar 20 lokasi lagi termasuk kawasan panas banjir yang dikenal pasti akan dinaik taraf secara berperingkat sehingga suku keempat 2026, melibatkan kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor dengan tumpuan khusus di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM100 juta ($31 juta) termasuk bagi kerja penyelenggaraan, sebagai sebahagian usaha bersepadu dalam memastikan sistem saliran dan perparitan sentiasa berada dalam keadaan baik serta berfungsi secara optimum.

“Selaras dengan arahan kerajaan negeri, kerja pembersihan longkang, penyahmendapan parit, pembaikan sistem saliran, pemasangan pam bergerak serta penambahbaikan perparitan sedang dilaksanakan mengikut keutamaan kawasan masing-masing.

“Rondaan berkala turut digerakkan bagi memastikan aliran air sentiasa terurus dan risiko limpahan dapat dikurangkan, khususnya ketika hujan lebat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Datuk Jafni menegaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan Johor, justeru setiap kawasan kritikal perlu diberi tindakan segera tanpa menunggu aduan atau berdepan sebarang kelewatan teknikal.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Kerajaan Johor telah menetapkan sasaran 12 juta pelancong dengan potensi kesan ekonomi mencecah RM42 bilion sempena Tahun Melawat Johor 2026.

“Ini bukan sekadar sebagai angka sasaran tetapi komitmen untuk menggerakkan ekonomi rakyat, menjana peluang pekerjaan serta memberi limpahan manfaat kepada sektor perhotelan, pengangkutan, peruncitan, kraf tangan dan industri kecil setempat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri telah mengadakan Majlis Sambutan Pelancong di pintu masuk Johor yang melambangkan kesediaan negeri itu menerima dunia dengan keterbukaan serta keramahan warga Johor, selain menjadi sentuhan pertama yang membentuk pengalaman awal pelancong terhadap negeri.

“Sambutan pembukaan itu dilaksanakan secara serentak di 13 pintu masuk utama Johor melibatkan laluan udara, laut dan darat, selari dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 di peringkat nasional, sekali gus memperlihatkan kesiapsiagaan negeri menawarkan pengalaman pelancongan yang menyeluruh sejak detik pertama ketibaan.

“Daripada persembahan kebudayaan, senyuman petugas, hingga suasana yang tersusun dan mesra, inilah wajah Johor yang ingin kita tonjolkan kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata penganjuran Tahun Melawat Johor 2026 mengangkat semangat kebersamaan melibatkan semua agensi, pihak berkuasa tempatan, penggiat industri pelancongan serta masyarakat setempat, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk terus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

Berteraskan lagu rasmi Pesona Johor dan slogan, ‘Meh Lah Johor’, lebih 60 acara berskala besar dan bertaraf antarabangsa telah dirangka sepanjang 2026 bagi menampilkan keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya dan warisan serta kepelbagaian gastronomi Johor.

“Johor bukan sekadar destinasi, bahkan satu pengalaman. Johor bersedia menerima dunia. Johor mengalu-alukan anda. ‘Meh Lah Johor’,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg