Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ekon M’sia diunjur kembang 5.1% suku ketiga 2025

Nov 13, 2025 | 11:46 AM
Malaysia, ekonomi
Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada suku ketiga 2025. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.1 peratus pada suku ketiga 2025, sedikit lebih rendah berbanding anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.2 peratus.

Demikian menurut firma penyelidikan, Ambank Economics.

Ambank Economics berkata pertumbuhan kukuh bagi suku kedua 4.4 peratus disokong oleh kegiatan eksport awal, perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, pasaran buruh yang sihat, serta peningkatan ketibaan pelancong asing.

“Pertumbuhan yang mantap ini menunjukkan permintaan domestik kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luaran. 

“Jika unjuran ini direalisasikan, pertumbuhan Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) bagi sembilan bulan pertama 2025 akan berada pada kadar 4.6 peratus, selaras dengan unjuran rasmi setahun penuh antara 4.0 dengan 4.8 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan, lapor Utusan Malaysia

Menurut Ambank Economics, ekonomi Malaysia terus membuktikan daya ketahanan di tengah cabaran sejagat, disokong oleh perbelanjaan swasta yang kukuh dan pasaran buruh yang stabil, dengan kadar pengangguran kekal pada paras terendah 3.0 peratus setakat September 2025. 

“Sektor pelancongan turut menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan, dengan 17.8 juta pelancong asing direkodkan bagi tempoh lapan bulan pertama 2025, meningkat lebih 8 peratus berbanding 16.5 juta pelancong bagi tempoh sama pada 2024.

Sektor pengilangan pula menunjukkan pemulihan dengan pertumbuhan 4.0 peratus (suku kedua 2025: 3.7 peratus), didorong oleh peningkatan pengeluaran dalam segmen eksport seperti elektronik dan produk elektrik, sejajar dengan kitaran pemulihan teknologi sejagat. 

Sementara itu, sektor perlombongan dan kuari dijangka melonjak 10.4 peratus, berbanding penyusutan 5.2 peratus pada suku kedua 2025 mencerminkan pemulihan ketara dalam kegiatan pengeluaran.

Semakan itu turut mengambil kira sokongan fiskal tambahan pada suku keempat 2025, termasuk bayaran tunai sekali RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang diagihkan pada 31 Oktober.

Firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan sepanjang 2025 dijangka terus disokong oleh pelaburan yang rancak, sektor pelancongan yang memberangsangkan, pasaran buruh yang kukuh, serta inisiatif kerajaan melalui program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sara.

“Namun begitu, kegiatan eksport dijangka kembali normal pada suku keempat 2025 selepas lonjakan awal pada suku sebelumnya. 

“Ini berikutan penurunan pesanan baharu dalam laporan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia bagi Oktober, yang mungkin memberi tekanan ke bawah terhadap pertumbuhan suku akhir,” katanya. 

Pada 2026, unjuran ekonomi kekal berhati-hati dengan pertumbuhan dijangka sederhana kepada 4.2 peratus berikutan kesan tertunda daripada kenaikan tarif Amerika Syarikat, meskipun langkah konsesi tarif timbal balas sifar peratus dijangka membantu mengurangkan sebahagian tekanan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg