Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor terajui sektor pertanian M’sia dengan nilai jualan RM27b

Oct 27, 2025 | 1:15 PM
Pertanian, Malaysia, Onn Hafiz
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Johor telah mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM27.26 bilion ($8.39 bilion) dalam sektor pertanian pada 2024 sekali gus menyumbang 17.3 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pertanian Malaysia.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pencapaian itu membuktikan kekuatan dan daya saing sektor agro Johor yang bukan sahaja menguasai pasaran domestik, bahkan menyumbang lebih 70 peratus daripada nilai eksport pertanian negara, bernilai hampir RM24 bilion.

“Johor kekal sebagai tonggak utama sektor pertanian negara. Dari buah-buahan dan sayur-sayuran hingga ke ternakan, hasil bumi Johor menunjukkan keampuhan dan daya tahan luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 Oktober.

Terdahulu, beliau telah merasmikan Karnival Agro Johor 2025 di Dataran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Johor Biotech dan lapan rakan strategik di bawah Johor Agro Research and Development Centre (J-ARDC), selain menyampaikan Anugerah Agro Makanan Negeri Johor kepada lapan penerima.

Tambahnya, kerajaan Johor juga menyalurkan insentif bernilai RM26.6 juta kepada lebih 1,900 penerima, merangkumi usahawan tani, pertubuhan peladang dan nelayan di seluruh negeri.

“Kerajaan negeri akan terus komited memperkukuh sektor pertanian sebagai tunjang ekonomi rakyat Johor melalui inovasi teknologi dan penglibatan generasi muda,” katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Perikanan Johor yang menerima pengiktirafan Buku Rekod Malaysia (MBOR) bagi kategori Pelepasan Benih Udang Galah Terbanyak Dalam Perairan Umum, melibatkan lebih 1.6 juta ekor benih di tujuh daerah.

Dalam perkembangan lain, Datuk Onn Hafiz turut melancarkan Johor Business Summit and Expo (JBSE) 2025 di Persada Johor, Johor Bahru, yang disertai lebih 2,600 peserta daripada pelbagai sektor industri, agensi kerajaan dan delegasi antarabangsa.

Penganjuran JBSE 2025 disifatkan sebagai platform utama memperkasa usahawan Johor ke arah keusahawanan berimpak tinggi dan berdaya saing.

“Johor terus membuktikan dirinya sebagai negeri yang terbuka kepada pelaburan baru. Melalui JBSE, kita memperkukuh daya tahan ekonomi dan membuka laluan kepada pertumbuhan keusahawanan mampan,” katanya.

Inisiatif itu turut menumpukan pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (SME) melalui pelbagai skim pembiayaan seperti Tekun, Pernas dan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) bagi memastikan lebih ramai usahawan tempatan memperoleh peluang setara untuk berkembang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg