Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RM37b pelaburan ke JS-SEZ bukti keyakinan pelabur asing terhadap Johor

Tiga negara pelabur utama di JS-SEZ ialah S’pura (RM28.5 bilion), Italy (RM2.9 bilion) dan China (RM700 juta)
Oct 28, 2025 | 1:01 PM
JS-SEZ, pelabur, S’pura
Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Hanifah Hajar Taib. - Foto FACEBOOK HANIFAH HAJAR TAIB

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) terus mencatat rentak positif apabila kawasan itu menarik pelaburan berjumlah RM37.1 bilion ($11.4 bilion) dalam tempoh enam bulan pertama 2025, menjadikannya antara kawasan paling pesat berkembang di Malaysia.

Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), pelaburan tersebut merangkumi RM24 bilion (66 peratus) dalam sektor perkhidmatan seperti teknologi maklumat dan komunikasi; serta RM13 bilion lagi dalam sektor pengilangan, termasuk produk petroleum dan petrokimia.

“Tiga negara pelabur utama di kawasan JS-SEZ ialah Singapura (RM28.5 bilion); Italy (RM2.9 bilion); dan China (RM700 juta),” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Encik Jimmy Puah Wee Tse (Pakatan Harapan-Tebrau) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada 28 Oktober.

Datuk Hanifah berkata setakat 30 September 2025, Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) telah memudah cara 808 pertanyaan pelaburan daripada pelabur asing dan domestik, termasuk 11 potensi projek bernilai RM1.3 bilion hasil kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG).

Menurutnya, bagi memastikan JS-SEZ kekal berdaya saing, kerajaan Malaysia memperkenalkan pelbagai daya usaha strategik dan insentif cukai khas, antaranya kadar cukai korporat serendah 5 peratus selama 15 tahun dan cukai pendapatan khas 15 peratus selama 10 tahun bagi tenaga kerja berpengetahuan.

“Antara langkah tambahan termasuk memudahkan pergerakan individu dan barangan antara Johor dengan Singapura melalui sistem kod QR tanpa pasport, selain memperkukuh jaringan logistik merangkumi lapangan terbang dan pelabuhan antarabangsa untuk mempercepat aliran keluar masuk barangan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan program latihan kemahiran bersama yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi.

Bagi memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (SME) tempatan turut menikmati limpahan manfaat daripada JS-SEZ, kerajaan memperkenalkan Dana Pelaburan Bersama Strategik bernilai RM200 juta di bawah Belanjawan 2026, bertujuan membantu SME meneroka peluang kerjasama teknologi dan rantaian bekalan dengan syarikat dari Singapura.

“Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 50 projek berimpak tinggi dalam tempoh lima tahun, dan 100 projek dalam tempoh 10 tahun, yang dijangka mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Johor,” katanya.

Datuk Hanifah turut memaklumkan bahawa kajian Rangka Tindakan JS-SEZ sedang dilaksana bagi memberi tumpuan kepada hala tuju pelaburan dan data pembangunan kawasan tersebut.

Ia dijangka siap pada suku pertama 2026.

“Pelaksanaan JS-SEZ adalah bukti kemampuan Malaysia memanfaatkan integrasi ekonomi serantau secara strategik dan berkesan, seiring dengan dasar pembangunan negara,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg