KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga 2025 berbanding tempoh sama 2024.
Ia sekali gus mengukuhkan keyakinan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa negara itu berada di landasan untuk mencapai paras tertinggi sasaran pertumbuhan tahunan meskipun berdepan ketidaktentuan sejagat.
Bacaan rasmi itu menepati anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta ramalan pakar ekonomi yang turut menjangkakan pertumbuhan pada kadar sama untuk tempoh Julai hingga September.
Prestasi itu turut menyusuli pertumbuhan 4.4 peratus pada suku pertama dan kedua 2025.
Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu dipacu permintaan domestik yang kukuh dan eksport bersih yang lebih tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa perbelanjaan isi rumah kekal stabil berikutan keadaan pasaran buruh yang baik serta pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan pendapatan dan bantuan tunai.
Kegiatan pelaburan juga meningkat selaras dengan pengembangan modal dalam sektor awam dan swasta.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan eksport negara dijangka terus berdepan tekanan akibat tarif dan permintaan sejagat yang perlahan.
Bagaimanapun, permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik serta sektor pelancongan dijangka membantu menyokong pertumbuhan.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 4.7 peratus.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata negara itu kekal di landasan untuk mencapai paras tertinggi dalam julat ramalan 4 hingga 4.8 peratus.
“Cabaran luaran masih ketara, namun pemulihan sektor pelancongan dan permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik dijangka terus mendorong pertumbuhan,” katanya lapor The Business Times (BT).
Menurutnya, kadar pertumbuhan 2025 yang sedikit lebih perlahan berbanding 5.1 peratus pada 2024 mencerminkan kesan tarif Amerika Syarikat terhadap perdagangan sejagat.
Bank Negara mengekalkan kadar dasar semalaman pada paras 2.75 peratus.
Datuk Abdul Rasheed menjelaskan dasar kewangan sedia ada kekal menyokong pertumbuhan, namun masih terdapat ruang untuk tindakan lanjut bergantung kepada perkembangan inflasi dan pertumbuhan.
Pada suku ketiga, inflasi keseluruhan kekal stabil pada paras 1.3 peratus, manakala inflasi teras meningkat kepada 2 peratus.
Beliau menjangka inflasi kekal sederhana pada 2025 dengan purata antara 1.5 dengan 2.3 peratus.
Dalam perkembangan nilai mata wang, ringgit kekal stabil dan mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika pada akhir September.
Mata wang itu turut mengukuh hampir 8 peratus sejak awal 2025.
Datuk Abdul Rasheed berkata pergerakan ringgit dipengaruhi gabungan faktor luar dan dalam negara, termasuk pemotongan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika serta keyakinan pasaran terhadap kestabilan ekonomi Malaysia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg