Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar pengangguran M’sia kekal 3% pada Jul

Sep 10, 2025 | 2:55 PM
Malaysia, pengangguran, Dr Mohd Uzir Mahidin
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kadar pengangguran Malaysia kekal pada 3 peratus pada Julai, dengan 521,600 orang direkodkan menganggur.

Demikian menurut Statistik Tenaga Buruh bagi bulan berkenaan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 10 September.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pasaran buruh terus mengekalkan trajektori positif didorong peningkatan berterusan dalam ekonomi domestik meskipun berdepan ketidaktentuan global.

“Jumlah tenaga buruh pada Julai meningkat 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya kepada 17.47 juta orang (Jun 2025 – 17.43 juta orang).

“Kadar penyertaan tenaga buruh pula kekal pada 70.8 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Bilangan penduduk bekerja naik 0.2 peratus kepada 16.95 juta orang (Jun 2025 – 16.92 juta orang).

Sementara itu, jumlah penganggur bertambah sedikit sebanyak 0.6 peratus kepada 521,600 orang berbanding 518,700 orang pada Jun, tetapi kadar pengangguran kekal stabil pada 3 peratus.

Daripada jumlah itu, 75 peratus bekerja sebagai pekerja bergaji dengan 12.71 juta orang direkodkan pada Julai, meningkat sedikit 0.1 peratus berbanding 12.69 juta orang pada bulan sebelumnya.

Mengikut sektor ekonomi, pekerjaan dalam sektor perkhidmatan terus mencatat momentum positif terutama perdagangan borong dan runcit, penginapan serta makanan dan minuman, selain kegiatan maklumat dan komunikasi.

Pekerjaan dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan kuari turut menunjukkan pertumbuhan.

Dalam tempoh sama, jumlah mereka yang bekerja kurang 30 jam seminggu menurun 1 peratus kepada 240,500 orang (Jun – 243,100 orang).

Kategori pekerjaan kurang 30 jam tetapi berkeupayaan untuk bekerja lebih masa atau diklasifikasikan sebagai pengangguran berkaitan masa, juga turun 2.1 peratus kepada 134,800 orang, mewakili kadar 0.8 peratus (Jun – 137,600 orang).

Bagi situasi pengangguran, 79.8 peratus daripada jumlah penganggur terdiri daripada mereka yang aktif mencari pekerjaan.

Kumpulan ini meningkat 0.4 peratus kepada 416,200 orang berbanding 414,400 orang pada Jun.

Dalam kalangan ini, 64.3 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala hanya 5.1 peratus tergolong dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Datuk Mohd Uzir menjangka pasaran buruh Malaysia kekal stabil, terangkum dan berdaya tahan dengan prospek positif dalam bulan mendatang, disokong asas ekonomi domestik yang kukuh, pelaburan strategik serta dasar kerajaan yang proaktif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg