JOHOR BAHRU: Nilai eksport hasil perikanan negara melalui Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Tanjung Kupang meningkat kepada RM706 juta ($220 juta) pada 2025 berbanding RM683 juta pada 2024, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pintu keluar perdagangan perikanan yang strategik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Md Israk Abdullah, berkata peningkatan itu membuktikan potensi besar negeri berkenaan untuk berkembang sebagai hab perikanan, pemprosesan hasil laut dan kegiatan logistik negara.

Beliau berkata potensi tersebut perlu diperkasakan melalui perancangan lebih strategik, mampan serta berasaskan data supaya pertumbuhan industri tidak menjejaskan kelestarian sumber marin.

“Johor mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab perikanan dan industri hiliran negara.

“Namun, potensi ini perlu diperkasakan melalui pendekatan yang lebih strategik, lestari dan berasaskan data,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Perikanan Negeri Johor pada 3 Ogos.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Sahrihan Jani.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Sahrihan Jani (kiri), bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Md Israk Abdullah (kanan).
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Sahrihan Jani (kiri), bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Md Israk Abdullah (kanan). - Foto FACEBOOK MD ISRAK ABDULLAH

Encik Md Israk berkata antara perkara yang diberikan perhatian ialah keadaan sumber perikanan negara, khususnya kepadatan ikan dasar laut atau demersal di perairan Malaysia.

Menurutnya, analisis menunjukkan kawasan perairan Sarawak dan Sabah masih mempunyai kepadatan sumber yang tinggi, manakala Pantai Barat Semenanjung, termasuk sebahagian perairan Johor, berdepan tekanan terhadap sumber perikanan.

“Keadaan ini menuntut usaha berterusan dalam pengurusan sumber marin secara mampan agar kelestarian stok ikan dapat dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata industri pemprosesan hasil perikanan turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dan berpotensi menyumbang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Antara produk yang mencatat nilai eksport tertinggi ialah udang harimau sejuk beku bernilai RM123 juta, diikuti kek ikan sebanyak RM96 juta dan bebola ikan RM71 juta.

Eksport udang putih vanamei dan ikan siakap juga dilaporkan terus mencatat prestasi baik.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa industri hiliran mempunyai potensi besar untuk terus dikembangkan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan usahawan tempatan,” katanya.

Sementara itu, Encik Sahrihan berkata pembangunan sektor perikanan perlu dilaksanakan secara seimbang supaya peningkatan hasil dan kegiatan ekonomi tidak menjejaskan bekalan makanan serta kelestarian alam sekitar.

“Kita perlu memastikan sumber marin terus dipelihara supaya bekalan makanan negara kekal terjamin dan kelestarian stok ikan dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata peningkatan nilai eksport melalui KSAB menunjukkan keupayaan Johor sebagai pusat perdagangan dan logistik perikanan semakin kukuh.

Pada masa sama, perkembangan industri hiliran mampu menyediakan pekerjaan baharu, meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan dan memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.