Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor perkasa Lembah Makanan BioDesaru
Johor perkasa Lembah Makanan BioDesaru
Kerajaan negeri mahu tarik pelaburan bermutu, sasar muncul hab agro makanan berteknologi tinggi
Johor perkasa Lembah Makanan BioDesaru
Pembangunan Lembah Makanan BioDesaru akan terus diperkukuh sebagai hab agro makanan berteknologi tinggi bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta meningkatkan keterjaminan makanan negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Md Israk Abdullah, berkata usaha itu akan dipacu menerusi Pelan Transformasi Strategik Johor Biotech yang kini memasuki fasa pelaksanaan.
Beliau berkata Johor Biotech akan terus diperkasakan sebagai agensi strategik dalam membangunkan sektor pertanian moden, selaras dengan Agenda Maju Johor dan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP).
“Johor Biotech telah berjaya membangunkan Pelan Transformasi Strategik sebelum ini dan kini adalah masanya untuk fasa pelaksanaan dengan penuh komitmen supaya segala perancangan dapat diterjemahkan kepada pencapaian yang nyata,” katanya dalm satu kenyataan pada 30 Julai.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Johor Biotech dan Lembah Makanan BioDesaru di Desaru pada 29 Julai.
Menurut beliau, pembangunan Lembah Makanan BioDesaru mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab pertanian moden dan bioteknologi, sekali gus menarik pelaburan baharu, khususnya dengan kelebihan yang diwujudkan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Beliau berkata lawatan itu turut merangkumi tinjauan ke ladang akuakultur YHL Aquatic, yang disifatkan sebagai antara peneraju industri akuakultur moden di Johor.
Katanya, syarikat berkenaan mengusahakan ternakan udang putih sebagai produk utama, selain menternak tiram dan ikan kerapu hibrid melalui sistem akuakultur bersepadu yang merangkumi pembenihan, pembesaran sehingga pemprosesan hasil.
“YHL Aquatic menjadi contoh ekosistem akuakultur bersepadu yang moden, mampan dan berdaya saing,” katanya.
Encik Md Israk berkata YHL Aquatic juga merupakan rakan industri strategik kepada Johor Agriculture Research and Development Centre (JARDC) dalam memperkukuh penyelidikan dan pembangunan sektor akuakultur negeri.
Beliau berkata kerjasama itu membolehkan perkongsian teknologi, kepakaran serta amalan terbaik dimanfaatkan oleh lebih ramai pengusaha akuakultur tempatan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing industri.
“Peranan Johor Biotech dalam menerajui inisiatif JARDC akan terus diperkukuhkan bagi melahirkan lebih banyak inovasi dan perkongsian teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh petani, penternak, nelayan dan usahawan agromakanan di Johor,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menyokong usaha Johor Biotech memperkukuh keterjaminan makanan, merancakkan pelaburan berkualiti dan mempercepat pembangunan sektor pertanian berteknologi tinggi.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada Johor Biotech dalam usaha memperkukuhkan tahap keterjaminan makanan, merancakkan pelaburan berkualiti serta memacu sektor pertanian Johor ke tahap yang lebih maju, mampan dan berdaya saing,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi berkaitan dan pemain industri akan terus diperkasakan bagi memastikan Johor muncul sebagai hab agro makanan yang berdaya saing di peringkat nasional dan serantau, selain menyokong pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.