Topic followed successfully
Go to BHkuEmpangan di negeri utara M’sia di paras genting ekoran cuaca panas
Empangan di negeri utara M’sia di paras genting ekoran cuaca panas
Empangan di negeri utara M’sia di paras genting ekoran cuaca panas
KUALA LUMPUR: Beberapa empangan di Kedah dan Perlis berada pada paras waspada dan kritikal berikutan cuaca panas yang melanda bahagian utara Semenanjung ketika ini.
Di Kedah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata Empangan Ahning dengan takungan direkodkan 99.14 meter dan Malut (takungan semasa pada 68.82 meter) berada pada tahap waspada.
Empangan Beris pula menunjukkan tahap amaran dengan paras semasa 78.18 meter, manakala Empangan Muda menunjukkan paras semasa pada 86.43 meter bersamaan 8.75 peratus simpanan semasa yang berada di paras genting.
Empangan di Perlis iaitu Timah Tasoh turut berada pada paras kritikal dengan 26.31 meter bagi takungan paras semasa.
Terdahulu pada 5 Mei, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) agar menyegerakan pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA) di negeri yang berada pada tahap kritikal ketika cuaca mengizinkan, khususnya Kedah dan Perlis.
Justeru, Nadma yang mengetuai operasi berkenaan turut mengambil maklum mengenai arahan itu terhadap negeri tertumpu yang berada pada tahap kritikal, khususnya Kedah dan Perlis.
“Sememangnya pelaksanaan OPA adalah salah satu langkah proaktif bagi meningkatkan taburan hujan menyusuli cuaca panas yang melanda negara ketika ini, terutamanya di kawasan empangan.
“Namun, beberapa aspek teknikal dan keadaan atmosfera menunjukkan ciri-ciri yang sesuai perlu dipertimbangkan sebelum pelaksanaannya dapat dilakukan supaya membuahkan hasil seperti yang dikehendaki,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Nadma berkata perbincangan segera bersama MetMalaysia akan dilaksanakan sebelum memuktamadkan pelaksanaan OPA di kawasan yang terjejas.
Selain MetMalaysia, agensi berkenaan turut bercadang untuk melaksanakannya bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) serta Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah empangan yang semakin berlarutan akibat cuaca panas.
Pada 3 Mei, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh Malaysia, termasuk dua kematian akibat strok haba bagi tempoh 1 Januari hingga 3 Mei.
Kenyataan KKM memaklumkan dua kes kematian itu melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tertinggal di dalam kenderaan dan seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyertai kegiatan maraton di Pulau Pinang.
“Kedua-dua kes berlaku ketika keadaan cuaca berada di bawah Tahap Amaran 1.
“Namun, faktor risiko utama dikenal pasti adalah pendedahan kepada haba melampau dalam persekitaran tertutup dan aktiviti fizikal lasak dalam tempoh yang panjang, yang menyebabkan dehidrasi teruk serta kegagalan kawal atur suhu badan,” tambah kenyataan itu.
