Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan tiga lagi calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus melengkapkan senarai empat calon yang diketengahkan setakat ini bagi menghadapi saingan pada 11 Julai 2026.

Pengarah PRN Johor Muda, Encik Rasid Abu Bakar, berkata calon yang diumumkan ialah Encik M. Premanand bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu; Encik Muhammad Amir Fiqri Mustapha atau ‘Amir Jack’ (Maharani); dan Cik Ainie Haziqah Shafii (Simpang Jeram).

Sebelum ini, pada 20 Jun, Muda mengumumkan Cik Rashifa Aljunied, sebagai calon bagi DUN Puteri Wangsa.

Menurut beliau, pemilihan calon kali ini dibuat berasaskan rekod khidmat dan pengalaman, bukannya sekadar populariti atau kemunculan ketika musim pilihan raya.

“Pilihan raya bukan sekadar soal parti politik. Ia adalah soal siapa yang akan membawa suara rakyat Johor dalam menghadapi cabaran kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan dan masa depan negeri ini,” katanya dalam kenyataan media pada 21 Jun.

Beliau berkata Muda mahu menampilkan calon yang mempunyai pengalaman sebenar dalam bidang masing-masing serta memahami cabaran yang dihadapi rakyat.

Encik Premanand, katanya, membawa lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang kejuruteraan, pengilangan, latihan dan pembangunan tenaga kerja.

“Pengalaman beliau dalam sektor industri memberikan pemahaman mendalam mengenai ekonomi, pekerjaan dan pembangunan bakat yang diperlukan untuk masa depan Johor,” katanya.

Sementara itu, Cik Ainie yang juga seorang peguam dan aktivis masyarakat disifatkan sebagai tokoh yang telah lama terlibat dalam membantu golongan memerlukan melalui bantuan guaman, kerja advokasi dan pelbagai inisiatif kemasyarakatan.

“Beliau membawa pengalaman memperjuangkan hak rakyat ke dalam arena politik,” katanya.

Mengulas mengenai Encik Amir pula, Encik Rasid berkata beliau mewakili generasi pemimpin Muda yang dibentuk melalui pengalaman berkhidmat secara langsung kepada masyarakat.

Menurut beliau, pengalaman Encik Amir berkhidmat di Parlimen Muar serta menggerakkan pelbagai program belia dan masyarakat memberinya pemahaman mendalam mengenai keperluan rakyat setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata Cik Rashifa yang kini bertugas sebagai Ketua Pegawai kepada Presiden Muda, Cik Amira Aisya Abdul Aziz, turut memainkan peranan penting dalam pelbagai program dan daya usaha ang dilaksanakan Pusat Khidmat DUN Puteri Wangsa.

Katanya, pengalaman itu membentuk kepimpinan beliau melalui kerja lapangan dan khidmat kepada masyarakat.

Encik Rasid berkata walaupun keempat-empat calon itu datang daripada latar belakang berbeza, mereka berkongsi matlamat yang sama iaitu berkhidmat kepada rakyat sebelum meminta mandat daripada pengundi.

“Johor tidak memerlukan lebih ramai ahli politik yang hanya pandai berpolitik. Johor memerlukan pemimpin yang memahami dunia pekerjaan, memahami cabaran rakyat dan mempunyai rekod khidmat yang boleh dibuktikan.

“Muda percaya inilah jenis kepimpinan yang diperlukan untuk membawa Johor ke hadapan,” katanya.

PRN Johor akan diadakan pada 11 Julai ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.

Muda yang kini memiliki satu kerusi DUN menerusi Puteri Wangsa berharap dapat memperluaskan pengaruhnya dalam pilihan raya kali ini menerusi tawaran kepimpinan generasi baharu yang berteras integriti, khidmat dan reformasi institusi.