Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mengumumkan senarai calon dan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 20 dan 21 Jun ini, menandakan fasa baharu persiapan parti tersebut.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor Muda, Encik Rasid Abu Bakar, berkata pengumuman ini dibuat susulan selesainya proses penilaian teliti oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon (JPC).

Proses menyeluruh ini bertujuan memastikan setiap calon memiliki integriti, kepimpinan, dan komitmen tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Muda telah melalui proses pemilihan calon yang teliti bagi memastikan individu yang diperkenalkan kepada rakyat mempunyai keupayaan untuk membawa suara masyarakat serta memahami cabaran semasa yang dihadapi rakyat Johor,” ujar beliau dalam satu kenyataan media pada 18 Jun.

Barisan calon yang akan diumumkan mencerminkan komitmen Muda untuk menampilkan generasi pemimpin baharu yang berani, berwibawa, dan sedia menawarkan pendekatan politik yang lebih segar.

Menurutnya, pilihan raya kali ini merupakan peluang penting kepada rakyat Johor untuk menentukan hala tuju negeri, terutama dalam menangani isu-isu yang dekat di hati masyarakat.

“Antara perkara yang menjadi tumpuan ialah kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan serta keperluan mewujudkan tadbir urus yang lebih baik dan berintegriti,” katanya.

Encik Rasid berkata Muda berpendapat rakyat berhak mendapat pilihan politik yang segar serta kepimpinan yang benar-benar prihatin terhadap kepentingan mereka.

“Muda percaya rakyat Johor berhak diberikan pilihan yang menawarkan idea baharu, politik yang bersih dan kepimpinan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai lokasi, masa, dan atur cara pengumuman calon akan diumumkan dalam masa terdekat.

PRN Johor bakal menyaksikan persaingan sengit antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), dan Muda demi meraih mandat mentadbir negeri untuk lima tahun akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada 27 Jun, diikuti pengundian awal pada 7 Julai dan hari pengundian pada 11 Julai.

Muda, yang kini memiliki kerusi DUN Puteri Wangsa, dijangka memperluaskan pengaruhnya menerusi beberapa kerusi lain yang akan diumumkan hujung minggu ini.