SHAH ALAM (Selangor): Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diculik di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, Selangor, pada 8 Oktober, dipercayai turut dicabul kehormatan, selain cuba dijual kepada sindiket pelacuran di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kanak-kanak itu pada mulanya diajak menaiki sebuah kereta oleh empat suspek, dengan seorang daripada mereka merupakan wanita yang memang dikenalinya.
Datuk Hussein berkata kanak-kanak itu kemudian ‘ditahan’ di sebuah pangsapuri yang disewa di Setia Alam, Selangor, selama empat hari dan sepanjang tempoh itu mangsa dipercayai dicabul oleh dua suspek berumur 13 dan 23 tahun.
“Suspek utama berusia 23 tahun itu juga telah berurusan dengan sindiket pelacuran di Chow Kit, Kuala Lumpur, bagi urusan menjual kanak-kanak tersebut,” katanya, lapor Astro Awani.
Menurut Datuk Hussein, tindakan pantas polis menghebahkan berita kehilangan kanak-kanak itu menyebabkan sindiket enggan meneruskan proses jual beli yang dirancang.
Suspek kemudian bertindak menempah kenderaan swasta (e-hailing) dan meminta kanak-kanak itu pulang ke rumah pada 12 Oktober.
“Siasatan mendapati kanak-kanak itu juga dikhayalkan oleh suspek menggunakan rokok elektronik (vape), selain dipercayai turut didera, namun diberikan makanan sepanjang tempoh ditahan,” katanya.
Pada 12 Oktober, polis menahan empat lelaki dan dua wanita di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, yang disyaki terlibat dalam kes itu, selain merampas kereta yang digunakan suspek.
Datuk Hussein berkata polis akan meminta lanjutan reman bagi semua enam suspek berumur antara 13 dengan 23 tahun bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.
Beliau berkata polis juga sedang memburu dua lagi individu berkaitan sindiket pelacuran bagi membantu siasatan kes tersebut yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik orang daripada penjagaan sah.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang selepas diminta ibunya untuk turun mengambil makanan yang ditinggalkan di dalam kereta di tempat letak kereta di bawah kediamannya di rumah pangsa dekat Bandar Bukit Tinggi 1.
Kanak-kanak itu turun seorang diri dan tidak kembali ke rumah, sebelum ibu mangsa bertindak mencarinya pada 3 petang, namun tidak menemuinya lalu membuat laporan polis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg