PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam pegawai sebuah badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menyiasat kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana projek pembangunan kerajaan, masing-masing bernilai RM1.2 bilion ($340 juta) dan RM300 juta.
Bagi kes penyelewengan dana itu, SPRM menahan empat lelaki bagi membantu siasatan projek pembinaan telaga jejari (HCW) di Kelantan kerana gagal berfungsi bagi membekalkan air kepada penduduk.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata projek antara 2008 dengan 2015 itu membabitkan 10 projek pembinaan serta baik pulih loji rawatan air (LRA) yang dianggar berjumlah lebih RM300 juta, yang dibina Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
“HCW berkenaan sepatutnya berfungsi untuk membekalkan air mentah kepada LRA sebelum disalurkan kepada pengguna. Pembinaan HCW berlainan kapasiti ini adalah alternatif untuk mengatasi masalah air di negeri itu terutama pada musim kemarau.
“Tetapi sebahagian besar telaga yang dibina ini gagal menghasilkan kuantiti sumber air pada tahap optimum,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata siasatan awal mendapati ada pegawai di AKSB dipercayai menerima wang rasuah daripada syarikat konsultan yang dilantik bagi projek pembinaan telaga air terbabit.
“SPRM juga percaya terdapat manipulasi membabitkan proses kelulusan projek ini pada 2015.
“Oleh kerana telaga air yang dibina ini tidak dapat dimanfaatkan penggunaannya, ia menyebabkan kerugian dan siasatan SPRM juga akan cuba mengenal pasti jumlah sebenar kerugian yang dialami, termasuk jumlah wang rasuah terbabit,” katanya.
Tan Sri Azam berkata isu kegagalan telaga jejari untuk membekalkan air kepada LRA itu pernah didedah dan ditegur oleh Ketua Audit Negara menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2015.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan SPRM juga adalah berdasarkan rungutan selain aduan pengguna di negeri itu berhubung masalah air yang mereka hadapi.
Sementara itu, bagi kes salah guna kuasa, dua pegawai kanan badan berkanun ditahan reman empat hari hingga 18 Mei kerana disyaki menyalah guna kuasa dan penyelewengan dana yang membabitkan peruntukan pinjaman daripada Kementerian Kewangan bagi projek pembangunan.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan reman itu.
Kedua-dua suspek berusia 50-an tahun itu disyaki menyalah guna dana peruntukan pinjaman daripada kerajaan dengan memindahkan sebahagian wang yang diterima daripada Kementerian Kewangan.
Menurut sumber, wang terbabit dipindahkan kepada syarikat kontraktor dan perunding yang tidak berkaitan dalam kos pembangunan yang dinyatakan dalam permohonan peruntukan pinjaman kerajaan.
“Penyelewengan peruntukan ini amat serius memandangkan ia membabitkan dana daripada Kerajaan Malaysia,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg