KOTA BHARU (Kelantan): Sekurang-kurangnya lima negeri di Malaysia kini berdepan masalah gangguan gajah dan harimau, dipercayai berpunca daripada kemusnahan habitat semula jadi hidupan liar.
Gangguan haiwan itu yang berlaku di Johor, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu, semakin membimbangkan dan membabitkan nilai kerugian dialami penduduk mencecah puluhan juta.
Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Encik Hafizudin Nasarudin, berkata sekiranya konflik itu tidak ditangani segera, tidak mustahil gajah dan harimau akan memasuki kawasan bandar dan bukan lagi kampung.
Beliau mendakwa keadaan itu berpunca daripada kemusnahan habitat semula jadi hidupan liar, terutama akibat pembalakan, pembukaan ladang monokultur seperti kelapa sawit dan getah serta projek pembangunan yang tidak terkawal.
Beliau mendakwa keadaan itu berpunca daripada kemusnahan habitat semula jadi hidupan liar, terutama akibat pembalakan, pembukaan ladang monokultur (amalan pertanian), seperti kelapa sawit dan getah serta projek pembangunan yang tidak terkawal.
“Sepuluh tahun lalu, kawasan hutan simpan dan koridor hidupan liar masih wujud dalam keadaan lebih baik, tetapi kini semakin terpecah menyebabkan haiwan liar kehilangan habitat dan sumber makanan. Ini memaksa mereka keluar ke kawasan manusia untuk mencari makanan dan ruang bergerak.
“Sebab itu, jika sebelum ini kita jarang mendengar gangguan gajah dan harimau, bukan tidak ada, tapi ia agak terpencil.
“Namun kini, saban hari kita dilaporkan dengan gangguan serta ancaman haiwan berkenaan yang bukan saja mengancam nyawa penduduk, malah mengakibatkan kerugian apabila tanaman yang diusahakan mereka musnah.
“Kuasa memandang serius situasi ini yang menunjukkan tanda krisis ekologi. Apabila gajah memasuki kawasan kediaman dan harimau mengganggu kawasan ekonomi penduduk, ini bukan hanya isu hidupan liar, tetapi turut membabitkan keselamatan, kesejahteraan dan ekonomi komuniti luar bandar.
“Keadaan ini mencerminkan ketidakseimbangan hubungan antara manusia dan alam semula jadi yang berpunca daripada dasar pembangunan yang tidak mapan dan tidak sensitif kepada kelestarian biodiversiti,” katanya kepada Berita Harian Malaysia.
Encik Hafizudin berkata kerajaan perlu menangguhkan segera aktiviti pembalakan dan pembukaan hutan di kawasan habitat penting gajah serta harimau.
Beliau berkata penguatkuasaan zon penampan dan koridor hidupan liar yang berfungsi sebagai laluan selamat antara hutan utama perlu dilakukan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg