JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka melanggar seekor gajah di Kilometer 50, Jalan Johor Bahru-Mersing, pada malam 13 Mei.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata dalam kejadian kira-kira 9.20 malam itu, pasangan suami isteri berumur 40 dan 38 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Mersing menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.
“Secara tiba-tiba, empat ekor gajah melintas jalan di lokasi berkenaan, menyebabkan pemandu gagal mengelak, lalu merempuh seekor daripada haiwan terbabit.
“Akibat perlanggaran itu, bahagian hadapan kenderaan mangsa mengalami kerosakan teruk. Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata gajah yang dilanggar itu dipercayai telah masuk semula ke kawasan hutan berhampiran selepas kejadian, dan satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa bagi tujuan dokumentasi dan rujukan insurans.
“Pihak berkuasa dinasihatkan agar meningkatkan pemantauan di kawasan itu memandangkan laluan berkenaan sering menjadi lokasi pergerakan haiwan liar, terutamanya pada waktu malam,” katanya.
Pada 11 Mei, tular di media sosial seekor anak gajah jantan dianggarkan berusia lima tahun maut selepas dilanggar sebuah lori muatan ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Kejadian yang berlaku pada sambutan Hari Ibu itu meruntun jiwa rakyat Malaysia kerana ibu gajah berusaha untuk membawa keluar anaknya yang tersepit di bawah lori dan setia menunggu di situ selain dilihat mengalirkan air mata meratapi nasib anaknya.
Seorang pengguna Facebook, Encik Mohd Amir Faizal, menerusi perkongsian secara langsung pada pagi 12 Mei, berkata ketika kejadian, beliau sedang membuat rondaan pemantauan keselamatan di JRTB dan dapat mendengar dengan jelas tangisan ibu gajah berkenaan.
“Kalau lihat pada bahagian hadapan lori, memang ada kerosakan. Tapi kerosakan itu berpunca daripada tindakan ibu gajah yang menolak lori tersebut berulang kali kerana cuba menarik keluar anaknya.
“Ibu gajah terus mencuba, berkali-kali, sebab ketika itu anaknya masih hidup. Tapi ia tidak mampu menolak lori itu kerana terlalu berat. Itulah ‘seorang ibu’, tetap berusaha melakukan yang terbaik demi anaknya,” katanya dalam siaran langsung selama kira-kira 45 minit, lapor agensi berita, yang dipetik laman Sinar Harian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg