SEPANG (Selangor): Sebuah pesawat AirAsia yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Shenzhen, China, terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas mengalami kebakaran enjin ketika penerbangan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Encik Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu sekitar 10.37 malam pada 26 Mac.
Beliau berkata pesawat jenis Airbus A320-216 yang membawa 171 penumpang dan anak kapal itu mengalami kebakaran pada bahagian enjin kanan akibat kerosakan pneumatic ducting burst.
“Seramai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA bersama sebuah jentera pemadam api (Fire Rescue Tender - FRT) telah dikejarkan ke lokasi dan tiba pada 10.45 malam.
“Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan oleh sistem Halon pesawat sebelum mendarat,” katanya, lapor Kosmo!.
Encik Ahmad Mukhlis berkata pesawat itu selamat mendarat di landasan 3 KLIA2 pada 12.08 tengah malam 27 Mac, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Beliau berkata pihaknya telah memastikan tiada lagi punca kebakaran sebelum membantu proses pemindahan penumpang dengan selamat.
Menurutnya, Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) KLIA turut memberikan bantuan dengan tiga anggota serta satu jentera FRT.
“Setakat ini, kebakaran disahkan berpunca daripada kegagalan saluran udara pesawat dan pihak berkuasa penerbangan dijangka melakukan siasatan lanjut,” katanya.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata beliau telah menerima maklumat mengenai insiden itu daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan siasatan menyeluruh mengenai insiden itu sedang dijalankan CAAM.
“Pesawat berpatah balik adalah prosedur biasa, sebarang pendaratan cemas akan disiasat CAAM di samping AirAsia akan mengeluarkan kenyataan berkaitan selepas siasatan penuh selesai,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg