Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal menjadi pemangkin transformasi menyeluruh kepada landskap ekonomi, sosial dan prasarana negeri Johor, dengan pendekatan pembangunan yang berteraskan reka bentuk bandar yang menyeluruh, mesra manusia dan mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han, berkata JS-SEZ bukan sekadar zon ekonomi biasa, bahkan satu ekosistem masa depan yang akan menyatukan kemajuan teknologi, keperluan sosial dan keterhubungan merentas sempadan dengan Singapura.
“Pembangunan prasarana hari ini bukan lagi tentang jalan raya dan bangunan semata-mata, tetapi soal membina ekosistem yang berdaya tahan, terangkum dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya dalam satu kenyataan pada 3 Julai.
Beliau berkata Johor kini mencatat prestasi ekonomi yang membanggakan, dengan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak 6.4 peratus pada 2024 – tertinggi di Malaysia dan mengatasi purata kebangsaan iaitu 5.1 peratus.
Jumlah pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2025 sahaja berjumlah RM30.1 bilion ($9 bilion), sekali lagi meletakkan Johor di tangga teratas negara.
“Di sebalik angka itu, terdapat kisah sebenar – keluarga yang mendapat pendapatan lebih stabil, rakyat yang tidak perlu menempuh kesesakan, kanak-kanak yang mendapat pendidikan lebih baik serta masyarakat yang semakin berdaya tahan,” ujarnya.
Antara komponen utama dalam pembangunan JS-SEZ adalah projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Singapura dengan Johor Bahru yang dijangka beroperasi mulai 1 Januari 2027.
RTS bukan sekadar laluan pengangkutan, bahkan dianggap sebagai ‘tulang belakang ekonomi’ yang akan mencetuskan pembentukan hab transit pintar, termasuk ruang komersial, pejabat, taman awam dan kemudahan masyarakat.
Selain itu, Johor turut merekod lonjakan 42.7 peratus dalam sektor pembinaan pada 2024, khususnya projek pusat data, sistem penyejukan canggih dan rangkaian gentian optik berkapasiti tinggi.
Kemudahan digital itu dijangka meletakkan Johor sebagai antara pemain utama ekonomi digital di rantau Asean.
Namun begitu, Encik Lee menegaskan bahawa teknologi dan prasarana fizikal tidak akan bermakna tanpa ciri insani.
“Atas sebab itu, kami tubuhkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dan Invest Malaysia Facilitation Centre–Johor, agar rakyat tempatan dilatih dan bersedia menyertai gelombang pelaburan baru yang masuk ke negeri ini,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa kerajaan Johor sedang mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme progresif seperti pelepasan sempadan tanpa pasport berasaskan kod QR, kelulusan pantas, pelesenan teknologi kewangan (fintech) dan kod bangunan hijau dalam JS-SEZ sebagai model inovasi pentadbiran moden yang boleh dicontohi negeri lain atau Asean.
Encik Lee menegaskan bahawa pembangunan yang dirancang bukan hanya untuk meningkatkan GDP, malah memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Antara visi yang diketengahkan termasuk memastikan keluarga tidak lagi terperangkap dalam kesesakan, pelajar mendapat akses kepada makmal digital, usahawan kecil berdaya saing melalui rangkaian logistik cekap, dan warga emas mendapat rawatan di klinik yang mudah diakses.
“Inilah maksud sebenar kemajuan – apabila prasarana dibina bukan sahaja untuk ekonomi, bahkan juga untuk manusia,” katanya.
Encik Lee turut berkata kejayaan JS-SEZ bukan akan diukur melalui angka pelaburan semata-mata, bahkan melalui perubahan nyata dalam kehidupan rakyat – dari masa yang lebih bermakna bersama keluarga, kepada perniagaan lebih cekap, dan masyarakat yang lebih bersatu dan yakin pada masa depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg