Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Forum perkukuh peranan JS-SEZ sebagai hab inovasi serantau, pintu masuk ke Asean

Penganjuran Forum Nikkei Medini Johor 2025 buktikan Johor semakin kukuh sebagai pusat inovasi serantau
Jun 22, 2025 | 5:30 AM
Forum Johor, JS-SEZ sebagai hab inovasi serantau, Datuk Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kiri), bergambar bersama hadirin pada hari terakhir Forum Nikkei Medini Johor 2025 di Iskandar Puteri, Johor. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Forum Nikkei Medini Johor 2025 yang melabuhkan tirainya pada 19 Jun selepas dua hari berlangsung, membuktikan Johor semakin kukuh sebagai pusat inovasi serantau serta destinasi pilihan pelabur global yang ingin meneroka pasaran Asia Tenggara.

Forum yang dianjurkan bersama oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) dan Nikkei Inc itu berjaya menghimpunkan lebih 500 pemimpin kanan dari sektor awam dan swasta dari Jepun, Malaysia dan negara-negara Asean, termasuk ahli akademik, pakar teknologi serta institusi kewangan terkemuka, dengan penyertaan mencecah 1,100 orang – lebih dua kali ganda daripada sasaran asal.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya menekankan kepentingan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun serta menjadikan Johor sebagai contoh kerjasama rentas sempadan yang berlandaskan nilai, etika dan kemanusiaan.

Beliau turut menekankan bahawa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukan sekadar projek ekonomi, tetapi simbol kepercayaan dan kolaborasi strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“JS-SEZ ini tidak akan wujud jika kedua-dua sistem kerajaan tidak berkongsi kepentingan dan kepercayaan bersama untuk memajukan masyarakat di kedua-dua belah tambak. Ia merupakan zon ekonomi yang unik di dunia kerana melibatkan dua negara yang benar-benar bekerjasama sebagai satu pasukan,” katanya.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa pembangunan yang dicapai perlu berteras kepada kebudayaan, nilai moral dan prinsip kemanusiaan, sambil menyeru supaya pendidikan, teknologi dan inovasi digabungkan dengan akar budaya dan etika masyarakat.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Johor kini berada di landasan kukuh sebagai hab pelaburan Asia apabila mencatatkan RM30.1 bilion ($9.10 bilion) pelaburan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini – lonjakan mendadak berbanding RM4.1 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“Pencapaian ini menunjukkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kestabilan dan hala tuju ekonomi Johor. Dengan sokongan padu Kerajaan Persekutuan dan rakan strategik dari Singapura, kita akan terus memperkukuh kerjasama serantau,” katanya.

Beliau turut menggariskan tiga pemacu utama dalam memastikan Johor kekal berdaya saing – kemudahan menjalankan perniagaan, kemudahan pergerakan, dan pembangunan bakat masa depan.

Antara inisiatif utama yang diperkenalkan termasuk penubuhan Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) dan inisiatif Johor Super Lane (JSL) yang membolehkan proses kelulusan pelaburan dipercepatkan kepada hanya satu hingga 35 hari berbanding tiga bulan sebelum ini.

Setakat Mei 2025, IMFC-J telah menerima 439 pertanyaan pelaburan, dengan 57 projek berpotensi bernilai RM26.18 bilion dan enam pelaburan yang telah disahkan bernilai RM16.71 bilion.

Dari segi mobiliti, Johor memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar termasuk Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru, sistem pengangkutan Autonomous Rapid Transit (E-ART), dan peluasan Lebuhraya Utara-Selatan serta Lebuhraya Senai-Desaru.

Bagi memacu pembangunan bakat, Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) ditubuhkan sebagai platform menyelaras keperluan tenaga kerja pelabur dengan sistem pendidikan negeri, termasuk enam universiti awam, 15 institusi TVET, dan inisiatif pemadanan industri-universiti.

Menjelang 2026, Johor menyasarkan 10,000 graduan bersedia kerja dalam sektor strategik JS-SEZ seperti pembuatan pintar, semikonduktor, infrastruktur digital dan tenaga boleh diperbaharui.

Duta Jepun ke Malaysia, Encik Noriyuki Shikata, turut mengiktiraf peranan penting Malaysia dalam memacu pelaburan hijau dan penyelesaian mampan, termasuk dalam sektor pusat data dan sistem pengangkutan pintar.

“Jepun amat berminat untuk menyumbang kepada penyelesaian teknologi, termasuk sistem pengangkutan awam berasaskan kecerdasan buatan yang boleh menyokong pembangunan bandar pintar di Johor, Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama Asean,” katanya.

Beliau turut menyentuh kerjasama dalam sektor pelaburan tenaga lestari, serta keperluan mengurangkan kesan alam sekitar melalui teknologi penyejukan Jepun di pusat data di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han, menyifatkan sambutan hangat terhadap forum ini sebagai satu petanda positif yang mendorong kerajaan negeri untuk meneruskan kerjasama dengan Nikkei bagi penganjuran edisi seterusnya pada tahun hadapan.

“Daripada 500 peserta yang disasarkan, lebih 1,100 individu telah hadir. Ini jelas menunjukkan minat mendalam terhadap potensi Johor. Malah, kita telah menerima pelbagai pertanyaan pelaburan dari Jepun, terutamanya dalam sektor petrokimia, teknologi dan kewangan,” katanya.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Noorazam Osman, berkata pertanyaan pelaburan tertinggi setakat ini diterima daripada Singapura, China, Korea Selatan dan Jepun.

Katanya, beberapa bank Jepun seperti Mizuho Bank dan Sumimoto Mitsui Banking Corp telah mula menunjukkan minat untuk membimbing pelanggan mereka membuat pelaburan di Johor, malah ada dalam kalangan syarikat Jepun yang telah meminta untuk bertemu dengan Menteri Besar sendiri – isyarat jelas minat serius untuk melabur di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim, berkata Forum Nikkei bukan sekadar ruang wacana, tetapi medan untuk menjalin hubungan strategik, berkongsi pandangan yang boleh dilaksanakan, dan memperkukuh kerjasama antara Malaysia, Jepun dan rantau ini.

“Medini kini menjadi pelantar baru untuk pelaburan generasi seterusnya. Dengan ekosistem yang sedia ada, infrastruktur yang lengkap dan hala tuju pembangunan rendah karbon, kita yakin Medini bakal muncul sebagai pusat perniagaan antarabangsa yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

Lebih RM2.2 bilion telah dilaburkan dalam infrastruktur termasuk pembinaan sistem RTS dan kemudahan pintar yang disahkan mesra alam, sekali gus memperkukuh kedudukan Medini sebagai destinasi MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) utama negara melalui Medini International Convention City (MICC).

Forum ini turut menekankan keperluan dasar yang tangkas, rangkaian digital yang mantap, strategi pelaburan berteraskan ESG serta kerjasama awam-swasta yang erat untuk membuka nilai baharu rantau ini.

Kejayaan penganjuran Forum Nikkei Medini Johor 2025 bukan sahaja melonjakkan nama Johor di persada antarabangsa, tetapi juga mengukuhkan visinya untuk menjadi hab ekonomi berasaskan inovasi, berpaksikan nilai kemanusiaan dan kerjasama serantau yang mampan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg