Expo Hartanah Johor (Jpex) 2025 mencatat pencapaian luar biasa dengan nilai keseluruhan urus niaga melebihi RM1.1 bilion ($330 juta) sepanjang tiga hari penganjurannya di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kejayaan itu sekali gus memperlihatkan keyakinan tinggi rakyat terhadap dasar perumahan Kerajaan Negeri.
Menurutnya, Jpex 2025 turut membuktikan pendekatan menyeluruh yang dirangka kerajaan Johor bukan sahaja diterima rakyat, malah memperkasa pelbagai segmen masyarakat secara menyeluruh.
“Ini bukan sekadar pameran hartanah, malah medan reformasi perumahan rakyat, pentas pemerkasaan ekonomi marhaen (rakyat biasa) dan bukti bahawa dasar Kerajaan Negeri Johor diyakini dan diterima masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 Julai.
Antara pencapaian utama yang direkodkan termasuk urus niaga Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang mencecah RM173.09 juta.
Sebanyak RM7.96 juta direkodkan pada hari pertama, dan RM14.06 juta pada hari kedua dan meningkat mendadak pada hari ketiga kepada RM151 juta.
Urus niaga pasaran bebas seperti ‘subsale’ dan hartanah terbuka turut mencatat rekod tersendiri dengan jumlah keseluruhan RM454.36 juta, iaitu RM263.75 juta (hari pertama); RM117.5 juta (hari kedua); dan RM73.11 juta (hari ketiga).
Selain itu, peniaga kecil turut meraih manfaat daripada pendekatan menyeluruh Jpex apabila kios tempatan berjaya mencatat jualan keseluruhan sebanyak RM36,778.
Hari pertama mencatat RM8,000; diikuti RM13,585 pada hari kedua; dan RM15,193 pada hari terakhir.
“Ini bukti penganjuran Jpex bukan sahaja memberi peluang kepada pemaju hartanah, bahkan turut menyemarakkan ekonomi tempatan dan mengangkat peranan peniaga kecil dalam ekosistem pembangunan negeri,” kata Datuk Mohd Jafni.
Permohonan untuk Rumah Prihatin Johor (RPJ) iaitu program rumah percuma kerajaan negeri, turut meningkat ketara dengan 332 permohonan diterima berbanding hanya 85 sebelum ini.
Program itu disifatkan sebagai pelengkap agenda keadilan sosial dan peluang pemilikan rumah dalam kalangan golongan memerlukan.
Permohonan baru bagi unit RMMJ pula mencatat 5,103 jumlah keseluruhan sepanjang tiga hari, melebihi sasaran kebiasaan.
Ia merangkumi 2,009 permohonan pada hari pertama; 1,511 (hari kedua); dan 1,583 (hari ketiga).
Dari sudut pemilikan aset dalam kalangan Bumiputera, jumlah urus niaga dicatatkan juga tinggi, mencecah RM249.8 juta.
Ia terdiri daripada RM64.35 juta (hari pertama); RM127.4 juta (hari kedua); dan RM58 juta (hari ketiga).
“Inilah kejayaan sebenar apabila masyarakat Bumiputera dapat mengambil bahagian secara aktif dalam pemilikan aset, sejajar dengan usaha memperkasa ekonomi rakyat tempatan,” katanya.
Dalam aspek kehadiran, Jpex 2025 menerima sambutan luar biasa apabila seramai 180,324 pengunjung hadir dalam tempoh tiga hari penganjuran.
Jumlah itu menjadikan edisi kali ini sebagai paling meriah dalam sejarahnya, dengan 36,508 pengunjung direkodkan pada hari pertama; 53,986 (hari kedua); dan 89,830 pada hari ketiga.
Jumlah transaksi pembiayaan oleh institusi kewangan sepanjang Jpex 2025 turut mencapai angka tertinggi – RM258.6 juta.
Ia merangkumi RM79.6 juta (hari pertama); RM79.58 juta (hari kedua); dan RM99.45 juta (hari ketiga).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg