Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih RM350 juta diperuntuk bagi 164 projek bandar dan perumahan di Johor

Jul 22, 2025 | 4:31 PM
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kedua kiri), dalam satu perjumpaan di Bukit Saujana, Johor Bahru.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kedua kiri), dalam satu perjumpaan di Bukit Saujana, Johor Bahru. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Kerajaan Negeri Johor melaksanakan sebanyak 164 projek berkaitan pembangunan fizikal, kebajikan masyarakat, bandar pintar serta penyediaan rumah mampu milik setakat suku kedua 2025, melibatkan peruntukan melebihi RM350 juta ($106 juta).

Daripada jumlah itu, 38 projek telah disiapkan, 114 sedang berjalan dan 12 dalam proses kelulusan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata laporan lengkap pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Suku Tahun Kedua 2025 telah dibentangkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 21 Julai.

Beliau menjelaskan, laporan itu merangkumi status gerak kerja, pencapaian serta pelaksanaan program berimpak tinggi yang berpaksikan enam teras utama, iaitu pembangunan fizikal, perancangan bandar, penyediaan rumah mampu milik, pembangunan bandar pintar, kebajikan masyarakat dan keterlibatan rakyat dalam pembangunan negeri.

“Bagi sektor di bawah Bahagian Kerajaan Tempatan, antara projek tumpuan termasuk kerja naik taraf infrastruktur asas, penyelenggaraan kemudahan awam dan penyelesaian isu banjir di kawasan berisiko tinggi.

“Antara projek penting yang dibentangkan ialah pemulihan mercu bandar Johor Bahru seperti Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, Zoo Johor Fasa 2, Hutan Bandar Johor Bahru dan Taman Tasik Merdeka di bawah seliaan Majlis Bandaraya Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 Julai.

Turut disampaikan ialah perkembangan projek pengindahan bandar seperti pembangunan Taman Botani DiRaja Johor dan Pusat Aduan Bersepadu, pembangunan ekopelancongan di Kampung Sungai Melayu, serta projek rekreasi Sungai Lebam oleh Majlis Perbandaran Pengerang.

“Melalui Pasukan Petugas ‘Hotspot’ Banjir, sebanyak 88 projek sedang digerakkan dengan nilai peruntukan melebihi RM93 juta. Ia melibatkan kerja pembinaan kolam takungan, sistem saliran dan pembetungan termasuk di kawasan terjejas seperti Kampung Mohd Amin dan sekitar KSL, Johor Bahru.

“Inisiatif mencantikkan semula pusat bandar turut dilaksanakan dengan kerja mengecat 270 premis awam dan komersial di sekitar Jalan Trus, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Ibrahim dan kawasan jejantas.

“Sebanyak RM15.2 juta diperuntukkan bagi membaiki laluan pejalan kaki, struktur jejambat serta penghasilan mural sebagai usaha memperindah wajah bandar menjelang suku pertama 2026,” tambahnya.

Dalam pembentangan itu, Datuk Mohd Jafni turut mengemukakan pelan strategik pembangunan semula Lot 1 di tengah bandar Johor Bahru dengan pelbagai pilihan pembiayaan sedang diperhalusi bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) dan Kerajaan Persekutuan.

Transformasi digital turut menjadi agenda utama dengan penggunaan platform e-rumah Johor, aplikasi ‘chatbot’ berasaskan kecerdasan buatan (AI), serta pelantikan ejen penyelenggaraan bagi perumahan awam seperti di Rumah Sewa Kerajaan (RSK) Larkin, Cendana dan Kluang.

Dalam aspek perancangan jangka panjang, PlanMalaysia Johor telah hampir mencapai penarafan penuh dalam pelaksanaan bandar pintar bagi semua pihak berkuasa tempatan.

Pembangunan Pelan Induk Bandar Baru Johor pula sedang giat dilaksana di kawasan pesisir Iskandar Puteri hingga Sungai Pendas yang berkonsepkan Waterfront City dan menjadi pemacu utama pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg