Kerajaan Johor telah memperkenal Pasukan Petugas Khas Rumah Mampu Milik Johor (Taskforce RMMJ 100K) sebagai usaha menyeluruh untuk merealisasikan pembinaan 100,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pasukan petugas khas tersebut bukan sekadar menyediakan laporan pentadbiran, sebaliknya satu cetusan tekad dan hala tuju lima tahun akan datang untuk memastikan rakyat Johor memiliki kediaman selesa, bermutu dan mampu milik.
“Sasaran pembinaan 100,000 unit rumah ini merupakan ikrar terbesar kerajaan negeri di bawah agenda Maju Johor yang dipimpin Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Ia dibahagikan kepada dua peringkat iaitu Fasa 1 (2022-2026) sebanyak 30,000 unit, dan Fasa 2 (2027-2030) sebanyak 70,000 unit.
“Dalam tempoh hanya tiga tahun, sebanyak 17,741 unit telah berjaya disiapkan manakala selebihnya sedang giat dibina di serata negeri,” katanya dalam kenyataan pada 24 Julai.
Menurutnya, laporan yang dibentangkan merangkumi pelbagai aspek termasuk lokasi strategik, cabaran pelaksanaan, strategi kerjasama dengan pemaju, peranan agensi teknikal, dan keperluan memperkukuh pemantauan melalui paparan maklumat digital yang berasaskan data sebenar.
“Pendekatan ini membolehkan Menteri Besar memantau secara terus setiap tahap kemajuan pelaksanaan, dan memastikan tiada projek yang tergendala mahupun tersasar,” jelasnya.
Datuk Mohd Jafni berkata Menteri Besar Johor turut menegaskan agar pelaksanaan projek tidak hanya tertumpu pada kawasan bandar tetapi diperluas ke daerah yang sedang membangun serta kawasan luar bandar yang mempunyai potensi tinggi, termasuk dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), wilayah Iskandar Malaysia dan kawasan pertumbuhan pinggir bandar.
“Perumahan rakyat mesti seiring dengan pembangunan ekonomi agar keseimbangan dan keterangkuman dapat dicapai,” ujarnya.
Beliau berkata Taskforce RMMJ 100K ditubuhkan sebagai badan penyelaras utama merentasi semua jabatan dan agensi berkaitan, dengan peranan sebagai pemudah cara dalam kelulusan perancangan, penyelarasan teknikal, penjadualan projek dan pelaporan kemajuan kepada pucuk pimpinan negeri.
“Setiap unit rumah yang dibina bukan sekadar angka, bahkan menjadi lambang kejayaan pentadbiran yang memahami keperluan dan harapan rakyat,” katanya.
Datuk Mohd Jafni berkata agenda RMMJ akan terus diperkuat menerusi wadah sedia ada seperti, Expo Hartanah Johor (JPEX) dan Pusat Sehenti Perumahan Johor (JHome OSC), yang berperanan menyatukan keseluruhan ekosistem perumahan dalam satu sistem bersepadu.
“Inisiatif ini bukan hanya untuk mempromosi projek, malah menjadi pusat sehenti bagi urusan pinjaman, kelulusan, penyerahan kunci dan pembiayaan rumah. Johor kini berada di hadapan dari segi inovasi penawaran perumahan rakyat secara telus dan pantas,” katanya.
Selain itu, pelaksanaan pelan turut memberi tumpuan kepada pemulihan projek bermasalah dan terbengkalai yang akan dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pasukan petugas khas.
“Setiap projek yang berjaya dipulihkan adalah simbol kemenangan rakyat ke atas kelemahan sistem lama.
“Kerajaan negeri tidak akan membiarkan rakyat menunggu bertahun-tahun untuk rumah tanpa penyelesaian,” tegasnya.
Terdahulu, Berita Minggu (BM) melaporkan bahawa pembangunan pesat JS-SEZ serta projek Sistem Transit Laju (RTS) dijangka mencetuskan lonjakan permintaan hartanah antara 20 dengan 30 peratus.
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor (Jicci), Encik Segar Rajoo, berkata peningkatan harga rumah pula dijangka bermula sekitar 30 peratus, sejajar dengan transformasi koridor ekonomi yang menyatukan dua negara jiran itu.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa pembangunan perlu dilaksanakan secara seimbang agar tidak mengetepikan keperluan penduduk tempatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg