Pemain bolasepak Selangor FC, Faisal Halim tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika bercakap dalam sidang akhbar di pusat latihan Selangor FC pada 13 Jun, yang turut dihadiri oleh Anggota Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Ketua Jabatan Perubatan Selangor FC, Dr Hazwan Khair.
Menurut Faisal yang lebih dikenali sebagai ‘Mickey’ beliau pernah terfikir untuk berhenti bermain bola sepak dan pulang ke kampung selepas menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu. Peristiwa yang tidak diduga itu telah mengakibatkan kelecuran tahap empat kepada kulitnya, terutama di bahagian muka dan di tangan kiri.
Katanya, sokongan ramai pihak membuatkannya bersedia untuk bangkit dan kembali beraksi untuk pasukan kelab dan kebangsaan.
“Tetapi Datuk katakan kepada saya, ‘Mickey saya tahu awak mampu teruskan, saya jamin keselamatan awak dan keluarga awak’.
“Sebab itu saya mula semangat kembali bermain bola sepak.
“Saya cakap kepada keluarga saya, saya tak kisah hilang gaji berpuluh ribu, saya hanya mahu pulang ke kampung dan hidup tenang serta tidak perlu hidup dalam ketakutan.
“Saya sanggup bekerja dengan gaji RM50 ($14.30) sehari asalkan keluarga saya selamat, saya tidak perlu hidup dalam ketakutan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC pada 13 Jun.
Menurutnya, apa yang berlaku kepadanya itu adalah di luar jangkaan dan tidak boleh diterima. Faisal juga berkongsi dengan nada sedih, baru dapat memeluk anaknya, tetapi belum dapat tidur bersama anaknya itu oleh kerana keadaannya yang belum pulih sepenuhnya.
“Apa yang berlaku kepada saya ini memang sesuatu di luar jangkaan, dan saya tidak boleh terima.
“Namun, apa yang membuatkan (menguatkan) semangat saya adalah doa orang ramai untuk saya kembali bangkit,” katanya.
Menurut Faisal, tumpuannya kini adalah untuk mengharungi proses pemulihan selain meminta semua pihak mendoakan kesembuhannya.
“Sejujurnya saya amat rindukan bola sepak baik berlatih atau bermain. Bukan mudah untuk saya sekadar terlantar di rumah untuk menonton pasukan Selangor dan Malaysia bermain melalui televisyen.
“Masih terdapat beberapa proses pemulihan yang saya perlu jalani sebelum doktor boleh mengesahkan saya boleh kembali turun ke padang,” katanya dalam sidang akhbar itu.
Menurut Dr. Hazwan, pergerakan Faisal terhad disebabkan pembedahan dan perhatian harus diberikan untuk melindungi graf kulit atau tampalan kulit.
“Di waktu ini, Faisal masih perlu rawatan, selain fisioterapi dan rehabilitasi. Rehabilitasi yang dimaksudkan termasuk fizikal, emosi dan juga psikologi.”
Sebelum ini, akhbar Sinar melaporkan Faisal menjadi mangsa simbahan asid yang berlaku di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat.
Pemain sayap kebangsaan itu juga perlu menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecurannya itu sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.
Selepas itu, Faisal menjalani proses pemulihan di lokasi dirahsiakan selain kawalan ketat bagi memastikan keselamatannya.
Dalam pada itu, Faisal turut mengharapkan agar pelaku insiden tersebut dapat ditangkap dengan segera.
“Namun, saya mengharapkan semua orang tidak membuat spekulasi kerana perkara ini masih dalam siasatan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg